Jerebu: Sekolah di Melaka dibuka semula esok - Exco

MELAKA - Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan di Melaka akan dibuka semula mulai esok (12 Oktober) selepas Indeks Pencemar Udara (IPU) mencatatkan bacaan sederhana, iaitu bawah 100.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, keputusan itu mengambil kira perkembangan terkini kualiti udara semasa serta memastikan aspek pendidikan, keselamatan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan sentiasa diberikan keutamaan.
"Sehubungan itu, pihak pentadbir institusi pendidikan diminta untuk mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kelancaran pengoperasian institusi masing-masing serta mematuhi arahan dan garis panduan semasa yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa berkaitan.
"Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan supaya terus memantau tahap kesihatan anak-anak serta mendapatkan rawatan sekiranya mereka mengalami gejala berkaitan pencemaran udara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, sebarang perubahan arahan pengoperasian akan dimaklumkan melalui saluran rasmi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka.
Katanya, JPN Melaka merakamkan penghargaan atas keprihatinan semua pihak dalam memastikan kesinambungan pendidikan serta keselamatan seluruh warga pendidikan di Melaka diberikan keutamaan.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Melaka mencatatkan bacaan IPU sederhana setakat 2 petang ini, iaitu Alor Gajah (91), Bukit Rambai (94) dan Bandaraya Melaka (96). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
