Jenayah kewangan semakin kompleks tuntut SPRM perkasa teknologi

PUTRAJAYA - Pendekatan konvensional semata-mata tidak lagi memadai, sebaliknya cabaran membanteras rasuah hari ini menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bergerak lebih pantas dalam penguasaan teknologi.
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, jenayah kewangan semakin kompleks, transaksi merentasi sempadan dan jumlah data semakin besar.
Menurutnya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman menggariskan keperluan memanfaatkan data secara strategik, memperkukuh risikan, meningkatkan analisis kewangan serta memastikan keupayaan forensik seiring perkembangan teknologi.
"Lebih jauh, analisis data pintar dan pembangunan sistem penguatkuasaan digital secara bersepadu perlu diterjemahkan kepada tindakan yang lebih berkualiti.
"Namun teknologi tetap hanyalah alat. Nilai sebenar teknologi terletak pada bagaimana ia digunakan untuk menghasilkan keputusan yang lebih tepat, mempercepat proses, memperkukuh bukti dan membantu menutup ruang rasuah," katanya sempena Ulang Tahun SPRM Ke-59.
Beliau berkata, pada akhirnya, segala usaha penguatkuasaan, pencegahan, teknologi dan pengurusan perlu kembali kepada satu perkara iaitu kepercayaan rakyat.
Jelasnya, SPRM bukan sekadar memerlukan kuasa untuk bertindak.
"Ia memerlukan keyakinan masyarakat bahawa setiap laporan diberi perhatian, setiap tindakan dibuat berasaskan fakta dan setiap tugas dilaksanakan secara profesional serta berintegriti.
"Kepercayaan tidak boleh dibina melalui kata-kata semata-mata, tetapi ia dibina melalui tindakan yang konsisten, keputusan yang adil, proses yang telus dan amanah yang dilaksanakan setiap hari," ujarnya.
Tambahnya, dalam hal ini, maruah institusi sebenarnya bermula daripada perkara yang mungkin tidak dilihat oleh orang ramai misalnya bagaimana sesuatu fail dikendalikan, bagaimana maklumat dilindungi, bagaimana arahan dilaksanakan dan bagaimana sesuatu keputusan dibuat.
"Bagi SPRM, perjalanan 59 tahun atau hampir enam dekad bukan hanya mengenai berapa banyak kes disiasat atau berapa ramai individu dibawa ke muka pengadilan.
"Lebih besar daripada itu ialah sejauh mana institusi ini mampu mempertahankan integriti, menegakkan keadilan, memperbaiki kelemahan sistem dan terus memperoleh kepercayaan rakyat," ujarnya.
Tegasnya, rasuah mungkin tidak dapat dihapuskan dalam sekelip mata, tetapi ukuran sebenar kejayaan SPRM bukan semata-mata pada jumlah kes yang diselesaikan, tetapi pada sejauh mana institusi ini mampu memperbaiki sistem, menutup ruang rasuah dan membina semula keyakinan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
