Belanjawan 2027: Tujuh peruntukan, inisiatif untuk KPDN

SHAH ALAM - Tujuh inisiatif yang dibentangkan buat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Belanjawan 2027 dapat memperkukuhkan langkah menangani kos sara hidup, membendung ketirisan melalui penguatkuasaan lebih berkesan serta meningkatkan perlindungan pengguna.
Menurut Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya komited memastikan pelaksanaan semua inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada rakyat dan meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.
Beliau berkata, antara peruntukan dan inisiatif berkaitan KPDN ialah RM 750 juta bagi penganjuran 30,000 siri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dan 5,000 siri Jualan Agro Madani di seluruh negara.
"Pelaksanaan PJRM akan diperluas dengan memberi tumpuan kepada kawasan desa, perumahan kos rendah dan Program Perumahan Rakyat (PPR) di bandar.
"Inisiatif itu turut diperluas bagi membantu peniaga kecil, sekali gus memperluas akses rakyat kepada barangan keperluan pada harga berpatutan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Selain itu, Armizan berkata, sebanyak RM250 juta diperuntukkan bagi memperluas pengedaran barangan asas ke kawasan pedesaan dan pedalaman menerusi penambahan enam lokasi baharu, termasuk Kampung Terian, Penampang, Sabah dan Kampung Dato’ Gudam, Pusa, Sarawak.
"RM10 juta bagi meneruskan inisiatif Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA), dengan tumpuan membawa produk desa dan perkhidmatan bernilai tinggi ke platform digital serta pasaran luar negara.
"Sebanyak RM1.1 bilion disediakan bagi memperkukuh keupayaan operasi badan penguatkuasaan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), KPDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)," katanya lagi.
Tambah Armizan, Belanjawan itu turut memperkenalkan potongan cukai kepada penyumbang makanan dan peralatan bagi inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB), berkuat kuasa dari 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.
"Kerajaan akan memperkukuh industri animasi tempatan melalui pembangunan 20 harta intelek baharu serta usaha mengkomersialkan watak Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Yang terakhir ialah pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang bagi memperkukuh akauntabiliti platform dan penjual dalam talian, selain melindungi kepentingan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
