Belanjawan 2027: Kejayaan F1 bukti semangat perpaduan kekuatan utama Malaysia - Anwar

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kejayaan Malaysia menganjurkan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain membuktikan semangat perpaduan dan kerjasama erat rakyat pelbagai kaum menjadi kekuatan utama negara untuk mencipta kecemerlangan di pentas antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kejayaan penganjuran perlumbaan berprestij itu turut memperlihatkan komitmen ribuan sukarelawan, penjawat awam serta petugas F1 yang berganding bahu memastikan kelancaran kejuaraan itu.

"Saya ingin merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada seluruh barisan yang memungkinkan penganjuran GP Bahrain 2026 di Malaysia yang baru selesai dengan tertib dan jayanya. Selain petugas F1, acara ini turut dijayakan oleh ribuan sukarelawan serta penjawat awam.

"Ia menunjukkan bila kita dapat bergabung tenaga dengan semangat segulai sejalai (seiring sejalan), Malaysia mampu berjaya pada peringkat antarabangsa," katanya sebelum membentang Belanjawan 2027 bertemakan "Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi" di Dewan Rakyat hari ini.

GP Bahrain 2026 dari 2 hingga 4 Oktober lalu menyaksikan perlumbaan F1 kembali ke Litar Antarabangsa Sepang selepas sembilan tahun dengan kali terakhir kejuaraan itu diadakan di situ pada 2017.

Dalam pada itu, Anwar berkata, semangat yang sama turut diterjemahkan menerusi pencapaian kontinjen negara pada Sukan Asia ke-20 apabila Malaysia berjaya menyamai pencapaian terbaiknya dengan kejayaan meraih pingat melibatkan atlet daripada pelbagai kaum.

"Pemenang pingat merangkumi pelbagai kaum menunjukkan kita mencapai yang terbaik bila kita dapat meraih kekuatan daripada setiap komuniti," katanya.

Kontinjen Malaysia menamatkan saingan Sukan Asia ke-20 dengan kutipan sembilan pingat emas, tujuh perak dan 16 gangsa.

Pingat emas diperoleh menerusi acara skuasy, karate, e-sukan, sepak takraw dan berbasikal trek. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!