Belanjawan 2027: Kerajaan perkenal RUU E-Dagang lindungi PMKS tempatan

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang di Parlimen pada sesi Dewan Rakyat akan datang sebagai usaha memperkukuhkan akauntabiliti platform dan penjual dalam talian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil bagi menangani keresahan peniaga kecil susulan kewujudan syarikat e-dagang asing yang menyusup ke pasaran negara tanpa pengawasan dan penguatkuasaan.
"Kerajaan segera meneliti langkah perundangan dan penguatkuasaan bagi melindungi kepentingan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan daripada persaingan tidak adil.
"Selain itu, memastikan barangan yang dibeli oleh rakyat adalah selamat," katanya ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil pada Khamis dilapor berkata, kerajaan sedang meneliti kesan operasi platform e-dagang terhadap ekosistem perniagaan tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor runcit serta industri pos dan kurier.
Beliau berkata, kementerian mengambil maklum isu berkenaan susulan kebimbangan peniaga mengenai potensi ketidakseimbangan pasaran perniagaan yang dicetuskan oleh platform e-dagang.
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan untuk menjemput semua platform e-dagang bagi membincangkan perkara itu sebagai langkah awal menangani isu yang timbul.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

