Kembali bersama, Kai Wun-Wei Chong sasar kelompok 10 terbaik

PEMAIN beregu lelaki negara, Tee Kai Wun menyasarkan untuk melonjak semula ke kelompok 10 terbaik dunia bersama gandingannya, Man Wei Chong menjelang penghujung musim ini apabila kembali digandingkan bermula dengan kejohanan Terbuka Denmark pada 13 hingga 18 Oktober ini di Arena Jyske Bank.
Sasaran tersebut disuarakan selepas kedudukan pasangan negara itu kini menghuni ranking ke-12 dunia susulan ketiadaan mereka dalam beberapa siri kejohanan sebelum ini.
"Kita harap boleh masuk 10 atau lapan terbaik, ia ambil masa kerana kita terlepas banyak kejohanan dan sekaranng mungkin tinggal empat atau lima kejohanan sahaja. Jadi, kita akan cuba yang terbaik untuk menaikkan ranking," ujar Kai Wun ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada Jumaat.
Berdasarkan undian pusingan pertama Terbuka Denmark, Kai Wun-Wei Chong dijadual membuka kempen dengan menentang pasangan tuan rumah, Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer.
Bagaimanapun, mengulas mengenai sasaran khusus pada kejohanan bertaraf Super 750 itu, Kai Wun enggan meletakkan tekanan keterlaluan sebaliknya mahu fokus turun beraksi.
Beliau berkata, keutamaan buat masa ini adalah untuk menampilkan prestasi terbaik di gelanggang dan mara sejauh mungkin dalam kejohanan berkenaan.
"Saya tak bagi harapan tinggi cuma mahu tampilkan yang terbaik dan kalau dapat pergi jauh, lagi bagus," katanya.
Aksi terakhir Kai Wun adalah ketika beliau digandingkan bersama Aaron Chia pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 baru-baru ini, namun langkah mereka terhenti pada pusingan 16. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
