Geng hisap shisha didenda RM1,000!

KUALA TERENGGANU - Lapan individu termasuk tiga wanita masing-masing dijatuhi hukuman denda RM1,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana berkumpul menghisap shisha di sebuah rumah di Jalan Surau Haji Daud, di sini, Ahad lalu.
Keputusan dibuat selepas mereka yang berusia 19 hingga 29 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati berhimpun di mana-mana kawasan jangkitan bagi maksud untuk menjalankan aktiviti sosial di rumah terbabit pada jam 11.30 malam, 19 April lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 6(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1), Peraturan yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazlan Md Zein, Datuk Fariz Irwan Mustafa dan Nurul Syafikah Mohd Shafie.
Ka Full memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan itu tidak sewajarnya dilakukan.
"Mereka seharusnya memberi kerjasama dan lebih peka bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan kerajaan bagi membendung penularan wabak koronovirus (Covid-19)," katanya.
Mahkamah kemudian turut mengarahkan kesemua tertuduh agar menjalani hukuman sebulan penjara sekiranya gagal bayar denda berkenaan.
Di mahkamah sama, seorang juruteknik, Tan Yeh Yen, 37, dikenakan denda RM1,000 atau sebulan penjara selepas mengaku salah ingkar PKP, semalam.
Dia mengaku salah mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bergerak dari satu tempat yang lain iaitu dari kediamannya di Panji Alam ke tepi Jalan Terkukur, di sini, jam 1.05 pagi, pada 20 April lalu.
Jika disabitkan kesalahan, dia berdepan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
