Presiden Myanmar hantar kapal tentera laut ke Malaysia percepat proses penghantaran pulang migran

Anwar (kanan) bersalaman dengan Min Aung Hlaing sempena lawatan rasmi dua hari Presiden Myanmar itu yang bermula semalam.
Anwar (kanan) bersalaman dengan Min Aung Hlaing sempena lawatan rasmi dua hari Presiden Myanmar itu yang bermula semalam.
A
A
A

PUTRAJAYA - Myanmar bersedia memudahkan proses penghantaran pulang warganya secara besar-besaran dan menanggung kos berkaitan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, setakat ini, lebih 10,493 warga dan petugas Myanmar telah dihantar pulang ke negara itu menerusi penerbangan dan kapal tentera laut, manakala urusan penghantaran pulang seterusnya akan dirundingkan antara Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan kementerian berkaitan di Myanmar.

Anwar berkata, Malaysia menghargai kesediaan Myanmar menerima kembali warganya, sambil menyatakan bahawa amat sedikit negara yang sanggup menerima penghantaran pulang rakyat mereka dalam jumlah besar dengan menanggung kos sendiri.

"Sangat sedikit, malah berdasarkan pengalaman saya, hampir tiada negara yang sanggup menerima penghantaran pulang warganya dalam jumlah besar dengan menanggung sendiri kosnya, seperti yang ditunjukkan Myanmar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama sempena lawatan rasmi dua hari Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing yang bermula semalam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, baki rakyat Myanmar akan dihantar pulang mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan, tertakluk kepada pengesahan rekod mereka.

Perdana Menteri berkata, Min Aung Hlaing turut memaklumkan bahawa antara 3,000 hingga 4,000 warga Myanmar yang kini berada di depot imigresen akan dihantar pulang ke negara berkenaan.

Beliau berkata, pihak berkuasa berkaitan perlu mengesahkan kewarganegaraan dan rekod mereka, termasuk rekod jenayah sekiranya ada, sebelum proses penghantaran pulang dapat diselesaikan.

Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Myanmar atas kerjasama yang diberikan, khususnya dalam memudahkan penghantaran pulang rakyatnya.

Artikel Berkaitan:

"Saya sekali lagi ingin merakamkan penghargaan atas keterbukaan anda dan kesediaan untuk bekerjasama,” katanya.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan beberapa isu utama termasuk usaha menghantar pulang warga Myanmar daripada semua kumpulan etnik yang berada di Malaysia secara tidak sah, berasaskan prinsip sukarela, bermaruah dan selamat.

Sementara itu, Min Aung Hlaing berkata, Myanmar akan menghantar sebuah kapal tentera laut ke Malaysia bagi mempercepat proses penghantaran pulang warganya yang ditempatkan di depot tahanan imigresen.

Beliau berkata, Myanmar akan membawa pulang mereka yang disahkan sebagai warganya secepat mungkin.

"Kami akan mempercepat proses membawa mereka pulang dan menghantar sebuah kapal tentera laut ke Malaysia bagi tujuan penghantaran pulang itu," katanya pada sidang media bersama itu.

Beliau turut memohon bantuan kerajaan Malaysia bagi memudahkan proses penghantaran pulang berkenaan.

Berhubung kerjasama dalam sektor tenaga kerja, Min Aung Hlaing berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk memperkukuh perlindungan terhadap pekerja migran Myanmar, dengan mengiktiraf sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur Malaysia.

"Kami bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi memastikan keselamatan mereka di tempat kerja, hak dan perlindungan sewajarnya, selain meningkatkan jaminan sosial serta kebajikan mereka," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua negara juga akan memudahkan kemasukan pekerja melalui saluran yang sah, melindungi mereka daripada eksploitasi serta melaksanakan perjanjian dua hala dengan berkesan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas bantuan dan perhatian yang diberikan kepada pekerja Myanmar di negara ini.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!