Kerajaan tingkat usaha tangani jerebu, segerakan mesyuarat peringkat ASEAN - PM

PUTRAJAYA - Kerajaan mempertingkatkan pelbagai usaha merentas kementerian dan peringkat serantau bagi menangani isu jerebu yang kini berada pada tahap membimbangkan serta menjejaskan kesihatan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sendiri telah menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dan mendapat persetujuan beliau untuk mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menangani krisis berkenaan.
Menurut Anwar, selain perbincangan di peringkat pemimpinan tertinggi, Menteri Luar serta Menteri Alam Sekitar turut menghubungi rakan sejawat masing-masing bagi menyatakan kesediaan Malaysia memberi kerjasama.
"Jerebu ini memang tahap yang membimbangkan dan saya telah hubungi sendiri Presiden Prabowo dan beliau juga setuju mengambil langkah-langkah yang perlu.
"Menteri Luar dan Menteri Alam Sekitar juga menghubungi rakan sejawat. Kita menyatakan sejak beberapa minggu lalu kesediaan untuk memberikan apa saja kerjasama kerana tahap ini membimbangkan dan menjejaskan kesihatan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang doorstop sempena Hari Tinjauan Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan di sini.
Mengulas mengenai tindakan operasi tempatan, Perdana Menteri menjelaskan, pembenihan awan kini ditingkatkan hampir saban hari bagi merangsang hujan.
Operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta beberapa agensi lain yang berkaitan.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui situasi semasa masih berada pada tahap yang merunsingkan dan memerlukan usaha berterusan.
Sehubungan itu, beliau telah meminta Menteri Luar untuk menghubungi Sekretariat ASEAN bagi menyegerakan mesyuarat membabitkan menteri-menteri alam sekitar peringkat serantau.
"Tadi sekali lagi saya minta Menteri Luar hubungi Sekretariat ASEAN, kalau boleh sekali lagi menyegerakan mesyuarat rakan-rakan menteri berkenaan Alam Sekitar ASEAN.
"Ini semua langkah yang kita ambil. Kita pantau dan kita cubalah langkah-langkah apa yang sepatutnya kita lakukan lagi," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

