Belanjawan 2027: Kerajaan gubal RUU Warga Emas, tangani isu pengabaian

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas bagi menangani isu pengabaian golongan itu, selain memperkukuh ekosistem penjagaan yang lebih menyeluruh di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah berkenaan merupakan antara usaha kerajaan mempersiapkan negara menuju status negara tua, termasuk memastikan kebajikan dan keperluan warga emas terus terbela.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut mengambil langkah memperkukuh sektor penjagaan warga emas menerusi pengurangan kadar cukai perkhidmatan serta pengecualian penuh cukai bagi yuran penjagaan tertentu.
"Mulai 1 Januari 2027, kadar cukai perkhidmatan bagi penjagaan warga emas akan dikurangkan daripada lapan kepada enam peratus, manakala pengecualian penuh diberikan bagi yuran penjagaan sehingga RM96,000 setahun.
"Bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam sektor berkenaan, lebih RM40 juta disediakan menerusi HRD Corp untuk melatih 8,000 individu, sekali gus membuka peluang pekerjaan dalam bidang penjagaan warga emas," katanya ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.
Anwar memaklumkan, dua pusat kepakaran penjagaan bersepadu (NICE) juga akan dibangunkan di Pulau Pinang dan Sarawak bagi menyediakan latihan, menjalankan penyelidikan serta memperkukuh perkhidmatan penjagaan warga emas.
"Sementara itu, bantuan warga emas akan ditingkatkan kepada RM1.3 bilion pada tahun hadapan bagi memanfaatkan hampir 200,000 penerima," ujarnya lagi.
Beliau menambah, kerajaan turut menyediakan pilihan skim i-Emas kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencapai usia 55 dan 60 tahun untuk menerima pengeluaran simpanan secara bulanan, sekali gus membolehkan baki simpanan terus menjana dividen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

