'Ketiadaan Exco tak jejaskan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027' - Ismail Lasim

Ismail (tengah) ditemui pemberita selepas Majlis Amanat dan Penyampaian Watikah Pelantikan JPKK Negeri Sembilan Penggal 2026–2028
Ismail (tengah) ditemui pemberita selepas Majlis Amanat dan Penyampaian Watikah Pelantikan JPKK Negeri Sembilan Penggal 2026–2028
A
A
A

SEREMBAN - Ketiadaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri(Exco) tidak akan menjejaskan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, kerajaan negeri boleh membuat keputusan berkenaan Belanjawan tanpa perlu adanya Exco.

“Boleh (bentang). Kebiasaannya, bajet itu kita bawa kepada Exco untuk kelulusan, tapi bukan semestinya.

“Tapi boleh juga, dalam keadaan biasa, bajet yang disediakan oleh jabatan-jabatan ini akan kita bawa terus kepada Dewan,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Amanat dan Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan Penggal 2026–2028 di sini pada Khamis.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan memanggil kesemua 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan bagi sesi konsultasi Belanjawan pada bulan ini.

Ujarnya, pandangan semua wakil rakyat turut akan diambil kira dalam proses penyediaan Belanjawan negeri terbabit.

Selain itu Ismail memaklumkan bahawa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan pada 16 Oktober ini akan ditangguhkan ke akhir November.

"Kita tangguhkan ke akhir bukan November untuk perasmian DUN dan Belanjawan sekali.

“Penangguhan itu kerana tak sempat. Yang penting sekarang ini kita fikirkan Belanjawan. Apa yang perlu kita buat untuk negeri dan rakyat ialah belanjawan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perasmian sidang DUN dijangka akan diadakan pada 26 November depan manakala pembentangan Belanjawan pada 27 November.

Dalam pada itu Ismail menafikan bahawa ketiadaan Exco menjejaskan urusan pentadbiran kerajaan negeri dan buat masa ini semua portfolio dijaga oleh ketua jabatan berkaitan.

"Buat sementara ini tidak terjejas apa-apa(pentadbiran negeri).Jadi, ketua-ketua jabatan berkaitan yang memainkan peranan memastikan portfolio Exco ini berjalan seperti biasa.

"Hubungan saya dengan Setiausaha Kerajaan Negeri pun baik. Yang penting kita nak menguruskan negeri, jadi semua bersikap profesional kerana kita ada tanggungjawab masing-masing,"katanya.

Ditanya sama ada kekosongan Exco akan diselesaikan sebelum sidang DUN dan pembentangan Belanjawan, beliau berkata perkara itu bergantung kepada keadaan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!