Ubah pendekatan pembangunan bakat graduan kepada nilai graduan - Zambry

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu mengubah pendekatan pembangunan bakat daripada sekadar memastikan graduan mendapat pekerjaan kepada melahirkan graduan yang mempunyai nilai, kompetensi dan kemampuan lebih tinggi untuk memenuhi keperluan industri.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perubahan itu penting bagi memastikan graduan bukan sahaja memperoleh pekerjaan, malah mendapat pekerjaan yang sepadan dengan kompetensi serta mempunyai laluan kerjaya dan ganjaran yang lebih baik.
“Maka kita perlu bergerak daripada sekadar graduate employability kepada graduate value.
“Dan jika kita mahukan gaji premium, kita terlebih dahulu perlu membangunkan kompetensi premium,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Aminuddin Hassim sempena Program Industry Nexus (INDEX) 2026: TVET Collaboration Hub, di sini pada Khamis.
Menurutnya, pembangunan program pendidikan juga tidak seharusnya dilakukan terlebih dahulu sebelum mendapatkan pandangan industri mengenai keperluan tenaga kerja.
“Jangan bangunkan program dahulu, kemudian bertanya kepada industri sama ada graduan itu diperlukan. Kenal pasti keperluan industri, kemudian bangunkan program dan bakat bersama-sama,” jelas beliau.
Zambry berkata, pendekatan itu penting bagi menangani ketidakpadanan kemahiran selain memastikan graduan memiliki kemahiran yang benar-benar diperlukan industri.
Katanya, kejayaan pendidikan teknikal dan profesional tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah program yang ditawarkan atau jumlah kerjasama yang dimeterai semata-mata.
Sebaliknya, perkara lebih penting ialah melihat perubahan yang berlaku hasil kerjasama antara institusi pendidikan dan industri, termasuk kerelevanan program, penerapan teknologi dalam pengajaran serta pengalaman industri dalam kalangan pensyarah.
“Matlamat akhirnya bukan untuk menghasilkan lebih banyak program. Matlamatnya adalah untuk menghasilkan lebih banyak nilai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, institusi pendidikan teknikal dan profesional perlu memastikan pelajar bukan sahaja memahami teknologi, malah mampu menyelesaikan masalah, menyesuaikan diri dengan perubahan serta membuat keputusan secara profesional.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan selari dengan usaha memperkukuh Pendidikan Teknikal dan Profesional (PTE) di institusi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) sebagai laluan pendidikan yang mempunyai kompetensi, piawaian, pensijilan serta prospek kerjaya yang jelas.
Katanya, POLYCC ketika ini mempunyai lebih 114,000 pelajar sepenuh masa dan melahirkan 31,873 graduan pada 2025, sekali gus menjadi antara kumpulan bakat besar negara.
“Persoalannya bukan sekadar berapa ramai graduan yang kita hasilkan, tetapi apakah nilai yang mereka bawa kepada industri,” katanya.
Zambry berkata, industri juga tidak seharusnya hanya menjadi penerima graduan, sebaliknya perlu bersama-sama membentuk bakat menerusi perkongsian keperluan, teknologi, piawaian, kepakaran, pengalaman serta masalah sebenar di tempat kerja.
Beliau berkata, kerjasama antara institusi pendidikan dan industri perlu bergerak daripada hubungan kepada penciptaan nilai bersama bagi memastikan pembangunan bakat benar-benar memenuhi keperluan ekonomi bernilai tinggi.
“Jika kita mahu melahirkan bakat masa depan, kita perlu membinanya bersama-sama. Dasar memberi hala tuju, institusi membina bakat dan industri membawa realiti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


