Ibu Zara Qairina akui tidak mahu bedah siasat, dakwa tiada penerangan jelas

 Ibu Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat (kanan) ketika hadir ke mahkamah pada Khamis.
Ibu Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat (kanan) ketika hadir ke mahkamah pada Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ibu Zara Qairina Mahathir mengakui bahawa dia tidak mahu melakukan proses bedah siasat terhadap anaknya semasa di Hospital Queen Elizabeth.

Bagaimanapun, Noraidah Lamat, 46, yang juga saksi ke-82 berkata, ketika itu dia dalam keadaan bersedih dan mendakwa tidak jelas mengenai perkara tersebut.

Saksi berkata, ketika itu dia tidak mengetahui tujuan Zara Qairina dibawa ke Pejabat Forensik dan hanya mengetahui perkara berkenaan selepas berada di dalam sebuah bilik pejabat bersama iparnya, Nur Shira, dua kakitangan hospital serta seorang doktor.

"Doktor itu tidak memberitahu tujuan. Cuma seorang doktor ada bertanya dengan nada lembut, 'Puan mahu anak Puan di-post-mortem?

"Saya dengan emosi yang sedih, saya menjawab saya tidak mahu anak saya ni di post mortem. Kasihan anak saya," katanya ketika menjawab soalan peguam, Shahlan Jufri pada prosiding inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner pada Khamis.

Ketika ditanya sama ada terdapat mana-mana doktor yang menerangkan tujuan Zara Qairina dibawa ke Pejabat Forensik atau Wad Forensik pada masa itu, Noraidah berkata, perkara berkenaan tidak dimaklumkan kepadanya.

"Saya tidak tahu, sebab saya tidak ada pengalaman menguruskan keadaan seperti ini," jelasnya.

Peguam kemudian bertanya sama ada doktor berkenaan menerangkan mengapa bedah siasat perlu dilakukan terhadap Zara Qairina.

"Tiada penerangan ataupun pemahaman yang jelas untuk saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, pemahamannya mengenai proses bedah siasat pada ketika itu ialah tubuh akan dibedah dan organ diperiksa.

"Yang saya faham tentang post-mortem ini, badan akan dibedah, dipotong-potong, dan diperiksa organ," katanya.

Keterangan saksi itu kemudian dibandingkan peguam dengan keterangan daripada saksi ketujuh inkues tersebut iaitu Dr Logaraj Ratha, yang sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa beliau telah berjumpa dengan saksi dan waris keluarga terdekat serta menerangkan keperluan dan kepentingan bedah siasat.

Menurut keterangan Dr Logaraj sebelum ini, beliau turut menerangkan bahawa tanpa bedah siasat, waris tidak akan dapat membuat sebarang tuntutan atau mendapatkan laporan bedah siasat rasmi berhubung punca kematian.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa waris, termasuk ibu Zara Qairina, boleh memohon supaya bedah siasat dijalankan sekiranya berhasrat.

Peguam kemudian meminta saksi memberi respons terhadap keterangan Dr Logaraj bahawa penerangan dan nasihat sudah diberikan sebelum dia membuat keputusan untuk tidak menjalankan bedah siasat terhadap Zara Qairina.

"Saya tidak ada dimaklumkan mengenai perkara tersebut. Tetapi sebaik sahaja kami berbincang perkara yang saya cakap tadi, saya diminta untuk menurunkan tanda tangan di satu borang. Saya dan Nur Shira.

"Tetapi salinan borang itu tidak ada dengan saya. Saya pun tidak tahu borang apa. Saya cuma tahu kepentingannya salinan borang itu perlu ada dengan saya apabila seorang polis dari Kepayan memanggil saya ke balai polis hari itu," katanya.

Peguam kemudian mendapatkan kepastian sama ada ketika menandatangani borang itu, adakah Noraidah mengetahui tujuan tandatangan tersebut.

"Borang tu sebagai akuan rasmi yang saya tidak setuju untuk melakukan post-mortem," katanya.

Ketika ditanya adakah Dr Logaraj telah menjelaskan dan memberikan nasihat kepadanya mengenai bedah siasat Zara Qairina sebelum menurunkan tandatangan pada borang, Noraidah memaklumkan tiada penerangan mengenainya.

Mengulas lanjut sebab dia tetap menandatangani borang berkenaan walaupun mendakwa tidak menerima penjelasan doktor, saksi berkata ketika itu dia dan Nur Shira berada dalam keadaan panik dan sedih.

"Kami turunkan tanda tangan kerana kami pada waktu itu panik dan sedih. Kami cuma terlintas di fikiran kami mahu pengurusan jenazah Zara dicepatkan kerana kami memikirkan lagi perjalanan untuk pulang ke Sipitang yang mengambil masa tiga jam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!