'Terkejut, badan menggeletar, dunia saya gelap lihat keadaan Zara Qairina' - Ibu

KOTA KINABALU - Terkejut, takut dan panik sehingga badannya menggeletar apabila melihat keadaan anaknya yang bergantung dengan mesin bantuan pernafasan antara detik yang dilalui ibu Zara Qairina Mahathir ketika berada di Wad Kecemasan Zon Merah, Hospital Queen Elizabeth.
Noraidah Lamat, 46, yang juga saksi ke-82 dalam inkues kematian Zara Qairina berkata, keadaan anaknya yang mengalami kecederaan parah ketika itu menyebabkan dia tidak dapat menerima penjelasan doktor mengenai keadaan anaknya.
"Lebih kurang pukul 11 (pagi) lebih saya dibenarkan untuk berjumpa doktor, memaklumkan kepada saya ketika masuk ke wad kecemasan zon merah.
"Semasa masuk itu, saya ditemani oleh seorang guru kaunselor dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Doktor telah menerangkan kepada saya keadaan Zara tetapi saya tidak boleh menerima apa yang dia cakap. Tidak masuk ke kepala saya.
"Saya terkejut, saya takut, saya panik dan mengegar badan saya melihat keadaan Zara yang bergantung dengan mesin bantuan pernafasan.
"Kepalanya berdarah, kelihatan ditilam, kakinya berdarah dan ada satu alat yang dipasang di tengkuknya dan di kakinya. Darah kelihatan jelas banyak sangat," katanya.
Noraida berkata demikian ketika menceritakan semula detik tersebut semasa ditanya peguam mewakilinya, Shahlan Jufri.
Katanya lagi, disebabkan panik, kaunselor JPN tersebut cuba menenangkannya dan menerangkan apa yang disampaikan oleh doktor tersebut.
"Antara penerangannya, Zara mengalami kerosakan otak yang teruk. Semasa ditemui, dua jam sudah otaknya tidak ada oksigen.
"Tulang kakinya patah, tangannya juga patah dan dia berada dalam keadaan kritikal. Doktor ada memberitahu lagi, kalau tiba-tiba jantungnya terhenti, Puan mahu kami lakukan... saya tidak tahu apa namanya tu (CPR/resusitasi).
"Saya jawab, 'Doktor cubalah, doktor cuba sehabis baik, tolong saya doktor'. Begitu saya beritahu. Kemudian kami keluar dari wad kecemasan zon merah," katanya.
Ketika ditanya mengenai perasaannya selepas mendengar penjelasan doktor dan melihat keadaan Zara Qairina, Noraidah berkata keadaan itu menyebabkan dirinya berasa sedih dan seolah-olah dunianya gelap seketika.
"Perasaan saya sedih. Bagi saya waktu itu dunia saya gelap sekejap. Saya tidak tahu mahu cakap apa-apa sebab di luar wad kecemasan, keluarga saya, saya hanya sendiri yang... dan saya segera WhatsApp Mahathir," katanya.
Noraidah turut mengesahkan ketika berada di Hospital Queen Elizabeth pada waktu itu, dia bersendirian tanpa ditemani ahli keluarganya sebelum menghubungi Mahadhir menerusi WhatsApp.
Ketika ditanya mengenai perkara yang dimaklumkannya kepada Mahadhir, Noraidah berkata dia hanya menghantar mesej ringkas mengenai keadaan Zara Qairina.
"Saya WhatsApp ringkas saja. Saya bagi tahu Zara berada di hospital, Hospital Queen Elizabeth di wad kecemasan, Zara dalam keadaan kritikal," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
