Belanjawan 2027: Penoreh harap tidak tercicir nikmati manfaat daripada kerajaan

Rodhi mengharapkan penoreh yang bukan pemilik kebun tidak tercicir dari menikmati manfaat dari Belanjawan 2027.
Rodhi mengharapkan penoreh yang bukan pemilik kebun tidak tercicir dari menikmati manfaat dari Belanjawan 2027.
A
A
A

CHANGLUN - Penoreh getah mengharapkan golongan itu tidak tercicir dari menerima manfaat dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada Jumaat.

Rodhi Md Rejab, 49, berkata, bantuan atau insentif khas juga diharapkan dapat dinikmati oleh penoreh getah termasuk mereka yang bukan berstatus pekebun kecil atau pengusaha kebun.

"Kami berharap ada bantuan atau insentif khas untuk penoreh yang bukan pemilik kebun, supaya kami juga tidak tercicir daripada menikmati manfaat bantuan kerajaan.

"Kami tidak minta untuk hidup mewah tetapi kami cuma berharap pendapatan yang lebih terjamin, bantuan ketika musim tengkujuh dan perlindungan apabila harga getah jatuh," katanya.

Jelasnya, golongan itu mahu terus bekerja menggunakan kudrat sendiri tetapi dalam masa sama memastikan anak-anak menikmati kehidupan yang lebih baik.

"Saya adalah penoreh getah yang bukan pemilik kebun. Setiap pagi kami keluar menoreh, tidak kira panas atau hujan.

"Tangan kami bekerja, badan kami berpeluh, demi mencari rezeki untuk keluarga namun apabila harga getah jatuh, pendapatan kami turut jatuh," jelasnya.

Situasi sama dihadapi golongan itu apabila berdepan musim hujan menyebabkan tidak boleh keluar menoreh sekali gus menjejaskan pendapatan keluarga.

"Kebun bukan milik kami, pokok bukan milik kami tetapi susah dan penatnya kami tetap rasa.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu kami berharap dalam Belanjawan 2027, suara penoreh kecil seperti kami turut diberi perhatian," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!