Belanjawan 2027: Peniaga kecil mahu tapak niaga lebih selesa, sewa berpatutan

Mohd Sayuti (kanan) menjual pisang goreng di gerai beratapkan zink di Kuala Krai.
Mohd Sayuti (kanan) menjual pisang goreng di gerai beratapkan zink di Kuala Krai.
A
A
A

KUALA KRAI – Peniaga kecil di Kelantan berharap Belanjawan 2027 menyediakan lebih banyak tapak dan gerai perniagaan tersusun dengan kadar sewa berpatutan.

Peniaga buah, Ab Manaf Mat Shah, 69, berkata, lebih banyak gerai di lokasi strategik, terutama di sepanjang jalan utama dapat membantu meningkatkan pendapatan peniaga.

Pada masa sama, katanya, kerajaan boleh merancang menyediakan ruang niaga sesuai tanpa membebankan peniaga dengan sewa tinggi.

“Kalau boleh, kerajaan sediakan lebih banyak gerai yang selesa, mudah dikunjungi dan ditawarkan pada kadar sewa rendah.

“Peniaga kecil tidak semuanya mampu membayar sewa tinggi. Jika sewa rendah, lebihan wang boleh digunakan untuk pusing modal,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ab Manaf yang berniaga di gerainya yang sudah usang.
Ab Manaf yang berniaga di gerainya yang sudah usang.

Belanjawan 2027 dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat ini dengan kerajaan memberi perhatian terhadap usaha memperkukuh ekonomi serta menyokong usahawan tempatan.

Kerajaan sebelum ini turut menyatakan sokongan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana, termasuk dalam aspek pembiayaan, akses pasaran, teknologi serta usaha mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Ab Manaf yang berniaga buah di RPT Batu Mengkebang berkata, kemudahan niaga tersusun di lokasi strategik dapat menarik lebih ramai pelanggan.

Menurutnya, kemudahan itu turut membuka peluang kepada penduduk setempat menjadikan perniagaan kecil sebagai sumber pendapatan.

“Saya harap perkara ini diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 supaya peniaga kecil dapat meningkatkan perniagaan dan pendapatan keluarga.

“Tidak semestinya bantuan wang, penyediaan tempat berniaga dengan sewa berpatutan juga banyak membantu,” katanya.

Mohd Sayuti
Mohd Sayuti

Sementara itu, peniaga pisang goreng, Mohd Sayuti Abd Ghani, 59, berharap kerajaan turut mengambil kira kos operasi peniaga kecil bagi memastikan perniagaan mereka terus bertahan.

Katanya, kenaikan kos bahan mentah dan keperluan harian memaksa peniaga kecil lebih cermat mengurus modal agar harga kekal berpatutan.

“Keuntungan peniaga kecil tidak besar, namun perbelanjaan tetap perlu ditanggung setiap hari. Sebarang bantuan yang mengurangkan kos berniaga amat membantu.

“Jika ada tapak lebih baik dan sewa rendah, lebihan modal boleh digunakan untuk menambah bahan jualan,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!