Belanjawan 2027: Masyarakat Siam kemuka tiga cadangan pembangunan minoriti

Boon Som (Gambar kecil) berkata, cadangan pertama ialah kerajaan menyediakan Dana Khas Pembangunan Masyarakat Minoriti bagi memberi tumpuan kepada aspek yang dapat meningkatkan taraf hidup komuniti berkenaan.
Boon Som (Gambar kecil) berkata, cadangan pertama ialah kerajaan menyediakan Dana Khas Pembangunan Masyarakat Minoriti bagi memberi tumpuan kepada aspek yang dapat meningkatkan taraf hidup komuniti berkenaan.
A
A
A

ALOR SETAR – Masyarakat Siam mengemukakan tiga cadangan kepada kerajaan supaya pembangunan masyarakat minoriti di Malaysia diberi perhatian lebih tersusun menerusi Belanjawan 2027.

Bekas Ahli Dewan Negara dan Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Siam Malaysia, Datuk Seri Boon Som Inong berkata, tiga cadangan itu meliputi penubuhan Dana Khas Pembangunan Masyarakat Minoriti, sebuah jabatan atau agensi khusus serta Pelan Pembangunan Masyarakat Minoriti Malaysia bagi tempoh lima hingga 10 tahun.

Menurutnya, masyarakat minoriti mungkin kecil dari segi jumlah penduduk, namun mereka mempunyai aspirasi sama seperti rakyat Malaysia lain termasuk mendapatkan pendidikan baik, meningkatkan pendapatan keluarga, membina perniagaan dan melahirkan generasi berkemahiran.

“Dalam konteks masyarakat Siam, komuniti ini telah berakar umbi sejak sekian lama khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.

“Mereka lahir, membesar, bekerja dan membina kehidupan di negara ini serta terus memelihara keharmonian bersama masyarakat pelbagai kaum,” katanya pada Khamis.

Boon Som berkata, cadangan pertama ialah kerajaan menyediakan Dana Khas Pembangunan Masyarakat Minoriti bagi memberi tumpuan kepada aspek yang dapat meningkatkan taraf hidup komuniti berkenaan.

Katanya, peruntukan itu tidak seharusnya hanya tertumpu kepada program kebudayaan, perayaan dan aktiviti kemasyarakatan, sebaliknya turut merangkumi pendidikan, latihan kemahiran dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), keusahawanan, peningkatan pendapatan, pembangunan belia serta kepimpinan.

“Sebahagian dana, misalnya, boleh disalurkan dalam bentuk geran mikro kepada usahawan, latihan dan peningkatan kemahiran, bantuan pendidikan serta program pembangunan ekonomi masyarakat.

“Dana ini bukan bertujuan menjadikan masyarakat minoriti bergantung kepada bantuan kerajaan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada kemandirian,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan lebih ramai masyarakat minoriti membina kerjaya, meningkatkan pendapatan, mengembangkan perniagaan dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara.

Boon Som berkata, cadangan kedua ialah kerajaan mempertimbangkan penubuhan Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Masyarakat Minoriti atau sekurang-kurangnya sebuah agensi atau unit khas di peringkat Persekutuan.

Katanya, institusi berkenaan boleh menjadi pusat penyelarasan antara masyarakat minoriti dengan kerajaan selain memastikan peruntukan sampai kepada kumpulan sasaran dan masalah di peringkat akar umbi dikenal pasti.

“Institusi tersebut juga boleh memantau keberkesanan program yang dilaksanakan serta membangunkan pangkalan data masyarakat minoriti yang lebih menyeluruh.

“Data mengenai pendidikan, pendapatan, pekerjaan, keusahawanan, kemahiran dan kedudukan sosioekonomi amat penting supaya dasar kerajaan dibuat berdasarkan keadaan sebenar, bukannya andaian,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan boleh menjadikan kewujudan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sebagai antara rujukan dari sudut institusi yang memberikan perhatian khusus terhadap pembangunan sesuatu kelompok masyarakat.

Bagi cadangan ketiga, Boon Som mencadangkan kerajaan menggubal Pelan Pembangunan Masyarakat Minoriti Malaysia bagi tempoh lima hingga 10 tahun.

Menurutnya, pelan berkenaan perlu mempunyai sasaran yang boleh diukur supaya pembangunan masyarakat minoriti dinilai berdasarkan hasil dan perubahan, bukan semata-mata jumlah program yang dilaksanakan.

Katanya, antara aspek yang boleh diukur termasuk pencapaian pendidikan anak-anak masyarakat minoriti, jumlah usahawan baharu, bilangan belia mendapat latihan TVET dan kemahiran profesional serta peningkatan pendapatan isi rumah.

“Pelan tersebut juga perlu mengambil kira perbezaan keperluan setiap komuniti.

“Masyarakat Siam, misalnya, mempunyai latar geografi, budaya, ekonomi dan demografi yang mungkin berbeza daripada komuniti minoriti lain. Pendekatan ‘one size fits all’ mungkin tidak menghasilkan kesan terbaik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!