'Saya tidak pernah halang Zara Qairina berhubung, jumpa bapanya' - Noraidah

Noraidah menunjukkan poster Justice for Zara.
Noraidah menunjukkan poster Justice for Zara.
A
A
A

KOTA KINABALU - Saksi ke-82 memberitahu Mahkamah Koroner di sini pada Rabu bahawa dia tidak pernah menghalang anaknya, Allahyarham Zara Qairina Mahathir daripada berhubung atau berjumpa dengan bapanya.

Noraidah Lamat, 46, berkata, sepanjang Zara tinggal bersamanya, anaknya itu tetap berhubung dengan bapanya, Mahathir Mohd Hashim menerusi panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp.

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak tiri Zara Qairina dakwa ada pihak cuba pengaruhi keterangannya

Kakak tiri Zara Qairina dedah tangkap layar pertikaian dengan ibu tiri

"Sepanjang Zara tinggal bersama saya, dia berhubung dengan Mahathir melalui panggilan telefon dan WhatsApp.

"Ketika berumur kira-kira enam tahun (2018), Zara sudah boleh merekod suara dan menghantar WhatsApp sendiri kepada Mahathir.

"Semasa PKP (2021), saya menyediakan telefon bimbit kepada Zara dan ini memudahkan Mahathir menghubunginya pada bila-bila masa," katanya semasa membacakan penyataan bertulisnya di sini.

Noraidah berkata, Zara Qairina juga kerap menghubungi bapanya untuk berbincang mengenai pelajaran serta perkara lain yang ingin dikongsikan, selain memaklumkan berdasarkan apa yang didengar dan diketahuinya, Mahathir melayan Zara dengan baik.

"Kali terakhir Zara bersemuka dengan Mahathir (selain kunjungan Mahathir ke hospital pada 16 Julai 2025 yang saya nyatakan di bawah) ialah ketika Zara berada dalam Darjah 1 (Okt 2019) di rumah kami dan Zara berumur tujuh tahun.

Artikel Berkaitan:

"Selepas itu Zara dan Mahathir terus berhubung melalui WhatsApp sahaja. Saya tidak pernah menghalang Zara daripada berhubung atau berjumpa dengan bapanya," katanya.

Menurutnya, Zara Qairina juga sudah terbiasa dengan keadaan bapanya yang bekerja di luar Sipitang dan tidak pernah mempersoalkan ketiadaan bapanya di rumah kerana keadaan itu sudah menjadi lumrah sejak dia kecil.

"Zara tidak pernah mengadu atau meluahkan rasa tidak puas hati kepada saya tentang Mahathir. Zara juga mempunyai hubungan yang baik dengan datuk dan nenek sebelah bapanya.

"Mereka sering datang menemui Zara dan mengajak Zara datang ke rumah mereka yang terletak di Sipitang," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berhubung status beliau dengan suami, mereka hanya tinggal berasingan.

"Status hubungan kami sekarang masih suami isteri, tetapi tinggal berasingan. Semasa saya mengandungkan Zara, Mahathir bekerja di luar kawasan dan berada di rumah kami kira-kira dua hari seminggu. 

"Selepas Zara dilahirkan, Mahathir terus bekerja di luar Sipitang termasuk di Kota Kinabalu, Lawas, Limbang dan jarang pulang ke rumah. Segala urusan berkaitan penjagaan, persekolahan, perbelanjaan dan kebajikan Zara diuruskan oleh saya sendiri. 

"Selepas berkahwin dengan Mahathir, anak tiri saya yang bernama Malianah, pernah tinggal dengan saya. Semasa anak tiri tinggal dengan saya, saya mengandungkan Zara dua bulan. Pada masa itu juga, saya menjaga arwah bapa saya yang sakit tenat," katanya.

Dalam pada itu, Noraidah turut memberitahu Mahkamah Koroner bahawa dia dan anaknya mempunyai ungkapan kasih sayang yang menjadi kebiasaan mereka sejak Allahyarham berusia lima tahun.

Sehubungan itu katanya, satu tagline berbunyi 'Sayang Cinta Rindu, Muahh I Love You' dicipta bersama Zara Qairina dan ungkapan itu dilafazkan setiap kali menghantar anaknya ke sekolah, malah berterusan hingga di sekolah menengah.

"Zara pula menunjukkan kasih sayangnya kepada saya dengan bermanja, bergurau, memeluk, mencium saya dan Zara kerap membuat kad untuk saya termasuk kad ucapan hari jadi dan kad 'Zara sayang mama'," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!