Lelaki bunuh tiga sekeluarga, remaja 14 tahun turut jadi mangsa serangan seksual

LAMPUNG – Seorang lelaki berusia 35 tahun disyaki membunuh tiga sekeluarga di Tulang Bawang, Lampung sebelum polis menemukan fakta baharu bahawa anak pasangan berkenaan yang berusia 14 tahun turut mengalami serangan seksual.
Suspek, Ahmad Fathony, ditahan selepas tiga mangsa iaitu Rahmat, 69, isterinya Hasanah, 56, serta anak perempuan mereka ditemukan meninggal dunia di kediaman di Kampung Purwa Jaya, Kecamatan Banjar Margo pada pagi Isnin.
Ketua Siasatan Jenayah Polis Tulang Bawang, AKP Apfryyadi Pratama berkata, hasil bedah siasat menemukan tanda persetubuhan pada tubuh mangsa remaja.
Menurutnya, pemeriksaan forensik menemukan kecederaan yang menunjukkan mangsa pernah mengalami persetubuhan.
Bagaimanapun, polis masih belum dapat memastikan sama ada perbuatan itu berlaku sebelum atau selepas mangsa meninggal dunia.
“Itu yang masih didalami oleh doktor forensik. Yang jelas, berlaku persetubuhan terhadap mangsa berusia 14 tahun,” katanya.
Dalam perkembangan sama, hasil bedah siasat turut menunjukkan ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan akibat serangan menggunakan senjata tajam dan objek tumpul.
Polis menemukan kesan hentakan yang menyebabkan keretakan pada bahagian tengkorak, dipercayai akibat dipukul menggunakan batang besi.
Suspek berjaya dikesan dan ditahan pasukan gabungan polis di Lampung Timur ketika cuba melarikan diri selepas kejadian.
Ketika operasi penahanan, polis berkata Ahmad bertindak menyerang anggota menggunakan senjata tajam sebelum tindakan tegas diambil terhadapnya.
Ketiga-tiga mayat kemudian diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi melengkapkan keseluruhan kronologi kejadian, motif, termasuk menentukan waktu sebenar serangan seksual terhadap mangsa berusia 14 tahun. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

