Pesara polis kekal dipenjara 12 tahun, dua sebatan kes amang seksual fizikal

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama K Muniandy dan Dean Wayne Daly sebulat suara menolak rayuan lelaki berusia 76 tahun itu terhadap sabitan dan hukuman.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama K Muniandy dan Dean Wayne Daly sebulat suara menolak rayuan lelaki berusia 76 tahun itu terhadap sabitan dan hukuman.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan terhadap seorang pesara polis yang didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang diasuh oleh anak perempuannya.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama K Muniandy dan Dean Wayne Daly sebulat suara menolak rayuan lelaki berusia 76 tahun itu terhadap sabitan dan hukuman.

Hakim Azman berkata, terdapat keterangan kukuh dan meyakinkan bagi menyokong sabitan terhadap perayu walaupun mangsa baru berusia lapan tahun ketika memberi keterangan di mahkamah.

Beliau berkata, keterangan mangsa kekal konsisten dan selari dengan laporan polis yang dibuat oleh bapanya serta laporan perubatan, manakala perbuatan keji itu bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa, malah turut memberi kesan psikologi yang mendalam.

"Undang-undang wujud sebagai benteng keadilan bagi melindungi insan yang lemah. Dalam kes ini, mangsa ialah seorang kanak-kanak yang tidak berupaya melawan atau memahami sepenuhnya apa yang dilakukan oleh perayu,” katanya.

Hakim Azman berkata, hukuman yang dijatuhkan bertujuan memberi peringatan bukan sahaja kepada perayu, malah orang ramai bahawa faktor usia bukan lesen untuk seseorang bertindak sewenang-wenangnya terhadap kanak-kanak.

Mahkamah kemudian mengeluarkan waran pemenjaraan bagi membolehkan lelaki itu mula menjalani hukuman penjara hari ini.

Lelaki berkenaan yang hadir di mahkamah dengan berkerusi roda sebelum ini memperoleh penangguhan pelaksanaan hukuman dan dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya diputuskan.

Pada 19 April 2024, Mahkamah Sesyen Kuantan mendapati lelaki itu bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah rumah di daerah Kuantan pada 2020 dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta dua sebatan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Tinggi kemudian mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan pada 27 Januari lepas.

Pada prosiding hari ini, perayu diwakili peguam Mohd Rusnizam Abdullah manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar. - Bernama 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!