Keganasan rumah tangga: Jangan takut lapor polis!

Siti Kamsiah Hassan
Siti Kamsiah Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mana-mana individu yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dinasihatkan supaya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut daripada pihak berkuasa.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Superintendan Siti Kamsiah Hassan berkata, walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mangsa tidak perlu takut untuk keluar rumah kerana PKP tidak menghalang mangsa untuk keluar mendapatkan bantuan atau perlindungan sekiranya hak atau terdapat ancaman terhadap keselamatan diri.

"Masyarakat juga diminta membantu menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui tentang sesuatu keganasan atau apa jua jenayah berlaku di kejiranan mereka.

"Selain itu, masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak memperdebatkan isu atau perkara yang belum tentu kesahihannya termasuk isu-isu keganasan rumah tangga di platform media sosial yang boleh menimbulkan tanggapan salah dan panik dalam kalangan masyarakat, sebaliknya, maklumat itu disalurkan terus kepada pihak polis," katanya.

Katanya, sepanjang 34 hari tempoh PKP sejak 18 Mac lalu sehingga semalam, sebanyak 409 kes keganasan rumah tangga di seluruh negara direkodkan.

"Berdasarkan jumlah kes terbabit, ia mencatatkan penurunan sebanyak 68 kes berbanding 34 hari sebelum bermula 12 Februari sehingga 17 Mac lalu.

"Berdasarkan laporan yang diterima, kes-kes ini berlaku sama seperti sebelum ini antaranya seperti perselisihan faham ahli keluarga berhubung perkara kecil, masalah suami terjebak dadah, kecurangan, panas baran dan lain-lain," katanya.

Katanya, mereka yang terlibat sebagai mangsa atau suspek juga membabitkan suami mahu pun isteri, anak, datuk, cucu dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

Siti Kamsiah berkata, kebanyakan kes yang diterima akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta sebilangan kecil di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.