'Saya dengar suara budak menangis dalam semak'

Muhammad Irsyad Hakim (tengah) yang didukung ibunya sebaik diserahkan oleh Mohamed Fadhli (foto kecil). Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Muhammad Irsyad Hakim (tengah) yang didukung ibunya sebaik diserahkan oleh Mohamed Fadhli (foto kecil). Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KUALA KRAI – Suara tangisan kanak-kanak yang kedengaran di tengah kawasan semak ladang getah ketika sedang menebas rumput membawa kepada penemuan Muhammad Irsyad Hakim Mohammad Khairul Najmi yang hilang pada petang Ahad.

Penoreh getah, Mohamed Fadhli Sudin, 41, berkata, dia tidak menyangka suara yang didengarinya sekitar setengah jam selepas tiba di kawasan kebun pada pagi Isnin itu adalah kanak-kanak yang sedang dicari sejak malam sebelumnya.

Menurutnya, dia sudah mengetahui mengenai kehilangan kanak-kanak berusia setahun lapan bulan itu dan turut melakukan pencarian sebelum pergi menebas di kawasan ladang berkenaan pada hari kedua kehilangan.

“Saya sedang menebas, kemudian dengar suara budak menangis. Saya pergi cari arah suara itu dan nampak budak berdiri dalam semak.

“Dia menangis kata nak papa dan saya terus ambil dukung dan bawa keluar dari kawasan itu,” katanya ketika ditemui di lokasi pada Isnin.

Mohamed Fadhli berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian dan hanya memakai lampin pakai buang yang terkena lumpur.

Selainnya terdapat kesan darah pada kaki dipercayai akibat pacat serta banyak kesan gigitan nyamuk di bahagian belakang badan.

Lokasi pencarian di sekitar kawasan rumah mangsa. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Lokasi pencarian di sekitar kawasan rumah mangsa. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Artikel Berkaitan:

Dia kemudian mendukung mangsa dan membawa keluar dari kawasan semak sebelum berjalan turun sambil menjerit memaklumkan kanak-kanak itu sudah ditemukan.

“Saya terus bawa dia keluar dan panggil orang, beritahu budak itu sudah jumpa,” katanya.

Penemuan itu berlaku di ladang getah berbukit yang agak jauh dari lokasi kehilangan sekali gus mengejutkan lelaki berkenaan kerana tidak menyangka kanak-kanak sekecil itu berada di kawasan berkenaan.

Mangsa kemudian diserahkan kepada keluarga sekali gus menamatkan pencarian yang berlangsung sejak petang Ahad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!