STL pacu pembangunan sepak takraw akar umbi

Mohammed Taufiq (tengah) menerima cenderahati daripada Mohd Sumali sempena pelancaran STL 2026 di Kuala Lumpur - Foto: Bernama
Mohammed Taufiq (tengah) menerima cenderahati daripada Mohd Sumali sempena pelancaran STL 2026 di Kuala Lumpur - Foto: Bernama
A
A
A

KEJAYAAN skuad sepak takraw negara meraih pingat emas dan perak pada Sukan Asia Aichi-Nagoya baru-baru ini membuktikan pembangunan sukan itu berada pada landasan tepat.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, perkembangan berkenaan dilihat semakin positif apabila prestasi sepak takraw negara terus meningkat tanpa menunjukkan kemerosotan.

Beliau berkata, penganjuran Liga Sepak Takraw (STL) 2026 yang memasuki edisi ke-12 menjadi antara platform penting dalam usaha mencungkil bakat baharu dari peringkat akar umbi.

Menurutnya, pembangunan sesebuah sukan perlu bermula dari bawah dengan menyediakan pertandingan yang mampu memberikan pendedahan dan pengalaman kepada pemain.

"Jadi kita lihat pembangunan atlet atau pembangunan sesebuah sukan itu perlu bermula daripada akar umbi itu sendiri.

"Tidak lain tidak bukan bagaimana kita ingin mencungkil bakat baharu itu adalah dengan penganjuran program-program seperti ini," katanya sempena pelancaran kejohanan itu di Kuala Lumpur pada malam Selasa.

Mohammed Taufiq turut menghargai komitmen Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam aspek pembangunan jurulatih, kebajikan atlet serta usaha memperkukuh sukan berkenaan.

Katanya, kejayaan sepak takraw negara bukan hanya bergantung kepada atlet, sebaliknya memerlukan kerjasama persatuan, kerajaan dan semua pihak yang terbabit dalam pembangunan sukan.

"Kejayaan menamatkan kemarau 36 tahun pingat emas pada Sukan Asia, mengakhiri kemarau 34 tahun di Sukan SEA 2025 serta kejayaan pada Piala Dunia Sepak Takraw menunjukkan momentum positif yang perlu dikekalkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berpuas hati dengan perkembangan sepak takraw negara yang disifatkannya terus meningkat dan berharap momentum berkenaan dapat dikekalkan.

"Saya harap kepimpinan PSM di bawah Datuk Mohd Sumali Reduan akan terus maju untuk masa akan datang khususnya bagi menghadapi Sukan SEA 2027, yang mana kita menjadi tuan rumah," katanya.

Beliau berharap PSM terus memperkukuh pembangunan sepak takraw negara bagi memastikan sukan itu terus menyumbang kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!