Belanjawan 2027: Permudahkan bantuan, sokongan pertubuhan akar umbi - NGO

Kerajaan diminta memperkasa pertubuhan kebajikan menerusi peruntukan atau geran khas juga penting bagi membolehkan bantuan disampaikan secara lebih cepat dan berkesan. - Gambar hiasan
Kerajaan diminta memperkasa pertubuhan kebajikan menerusi peruntukan atau geran khas juga penting bagi membolehkan bantuan disampaikan secara lebih cepat dan berkesan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN – Proses mendapatkan bantuan dan sokongan kerajaan kepada pertubuhan di peringkat akar umbi diharap dapat dipermudahkan menerusi Belanjawan 2027 bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan serta generasi muda mendapat manfaat.

Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Ikhlas Kuantan, Muhammad Jafni Mohd Yusof berkata, masih terdapat golongan yang berdepan kesukaran mendapatkan bantuan kerana tidak mengetahui saluran tersedia atau menghadapi proses permohonan dan dokumentasi yang rumit.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan sebahagian keluarga yang memerlukan tidak tampil memohon bantuan secara rasmi, sekali gus menjadikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di lapangan penting dalam mengenal pasti golongan berkenaan.

“Ada sesetengah golongan yang benar-benar terdesak akhirnya keciciran hanya disebabkan kekangan dokumentasi atau borang yang sukar diisi.

“Di sinilah peranan NGO di lapangan amat penting untuk mengenal pasti dan membantu golongan berkenaan yang mungkin segan atau tidak tahu saluran bantuan yang tersedia,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.

Muhammad Jafni memberitahu, kerajaan juga diminta memperkasa pertubuhan kebajikan menerusi peruntukan atau geran khas juga penting bagi membolehkan bantuan disampaikan secara lebih cepat dan berkesan.

“Kerja kebajikan bukan sekadar memberi bantuan sekali-sekala, tetapi perlu memastikan ekosistem kebajikan itu kukuh supaya golongan memerlukan sentiasa mempunyai tempat untuk bergantung,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kompang Negeri Pahang, Ab Razak Khalid berkata, sokongan terhadap pertubuhan seni di peringkat akar umbi juga perlu dipermudahkan bagi memastikan aktiviti kesenian dapat terus berkembang.

Menurutnya, antara keperluan utama persatuan kompang termasuk peralatan, pakaian persembahan, kos latihan dan pengangkutan selain penyertaan dalam program serta pertandingan.

Artikel Berkaitan:

“Seni kompang bukan sekadar aktiviti muzik, tetapi turut membentuk disiplin, keyakinan diri, semangat berpasukan dan mengeratkan hubungan dalam kalangan generasi muda.

“Kami berharap lebih banyak peluang diberikan kepada kumpulan seni akar umbi untuk mengetengahkan bakat anak-anak tempatan dan memastikan warisan seni kompang terus diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Ab Razak turut mengakui persatuan berdepan persaingan daripada hiburan moden, selain kekangan kos serta kekurangan tenaga pengajar dan sukarelawan.

Sehubungan itu, beliau berharap peruntukan khas disediakan dan proses permohonan bantuan dipermudahkan agar kumpulan kebudayaan tempatan dapat terus menggilap bakat anak muda.

“Sokongan yang diberikan walaupun kecil amat bermakna kerana kebanyakan aktiviti bergerak atas dasar sukarela.

"Harapan kami agar belanjawan kali ini turut memperkukuh pembangunan insan dan warisan budaya,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!