Belanjawan 2027: Apa yang Kerajaan Madani utamakan demi Malaysia?

PERSOALAN utama dalam merangka Belanjawan 2027 bukan lagi sekadar berapa besar ekonomi Malaysia boleh berkembang atau berapa banyak peruntukan yang boleh diumumkan. Persoalan yang lebih penting ialah sama ada pertumbuhan tersebut benar-benar meningkatkan kesejahteraan rakyat, mengukuhkan daya tahan ekonomi dan memperbaiki keupayaan negara menghadapi ketidaktentuan masa depan.
Dalam konteks ini, Kerajaan Madani wajar dinilai bukan hanya berdasarkan jumlah peruntukan, tetapi berdasarkan nilai sebenar yang diterima oleh rakyat daripada setiap ringgit wang awam yang dibelanjakan.
Kerajaan Madani telah membawa naratif reformasi yang lebih luas melalui penekanan terhadap tatakelola, subsidi bersasar, ekonomi bernilai tinggi, digitalisasi, pelaburan berkualiti dan kesejahteraan. Namun, cabaran utama ialah wujud jurang antara naratif reformasi dengan pengalaman ekonomi rakyat.
Biarpun KDNK suku kedua 2026 berkembang kukuh 6.0 peratus, Indeks Harga Pengeluar mencatatkan lonjakan 9.7 peratus. Jika kos sara hidup terus meningkat akibat tekanan rantaian bekalan (seperti kenaikan harga ayam kepada RM10.88 sekilogram), pendapatan sebenar tidak berkembang seiring dan mula menyusut kepada 2.2 peratus, simpanan persaraan semakin tertekan dan ketidakseimbangan pembangunan antara wilayah berterusan, maka pertumbuhan KDNK semata-mata tidak mencukupi untuk membuktikan kejayaan agenda Madani.
Oleh itu, Belanjawan 2027 perlu mengubah ukuran kejayaan daripada “berapa banyak ekonomi berkembang” kepada “siapa yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan tersebut”. Ini memerlukan penilaian yang lebih kritis terhadap struktur perbelanjaan, sistem percukaian, subsidi, pelaburan awam, perlindungan sosial dan agihan fiskal kepada negeri serta tempatan.
Fiskal semakin sempit, pilihan semakin sukar
Kerajaan Madani berhadapan dengan ruang fiskal yang semakin sempit. Perbelanjaan Penggunaan Awam meningkat 7.6 peratus pada S2 2026 (S1 2026: 4.1 peratus) yang dipacu oleh peningkatan perbelanjaan emolumen penjawat awam serta bekalan dan perkhidmatan, komitmen subsidi seperti pelaksanaan BUDI95 dan BUDI Diesel untuk memayungi 700,000 pemilik kenderaan persendirian, bayaran faedah hutang yang diunjurkan mencecah sekitar RM58 bilion pada tahun 2026 dan keperluan membiayai perkhidmatan awam mengehadkan ruang untuk pelaburan pembangunan yang kini menguncup kepada 4.6 peratus pada S2 2026. Dalam keadaan ini, menambah peruntukan bagi hampir semua sektor bukan lagi pilihan yang mampan.
Di sinilah pendekatan kerajaan perlu dinilai dengan lebih kritis. Jika kerajaan benar-benar serius mengenai disiplin fiskal, maka setiap pertambahan perbelanjaan perlu disertai dengan penjelasan tentang sumber pembiayaan, hasil yang dijangka dan kos peluangnya. Ringkasnya, apabila kerajaan memilih untuk membelanjakan lebih banyak bagi sesuatu program, kerajaan juga perlu menjelaskan perkara yang terpaksa dikurangkan atau dilepaskan.
Kerangka seperti Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) boleh menjadi asas kepada disiplin tersebut. Namun, undang-undang fiskal hanya bermakna jika prinsipnya diterjemahkan kepada keputusan belanjawan yang konsisten. Risiko yang perlu dielakkan ialah keadaan di mana kerajaan kelihatan berdisiplin dari segi sasaran fiskal, tetapi pada masa yang sama menggunakan pelbagai bentuk perbelanjaan, pelaburan atau komitmen di luar belanjawan kerajaan yang menyebabkan gambaran sebenar kedudukan fiskal menjadi kurang jelas.
Maka, Belanjawan 2027 perlu lebih telus tentang jumlah komitmen kerajaan yang sebenar, termasuk implikasi jangka panjang projek, jaminan, perkongsian awam-swasta dan hubungan fiskal dengan GLC serta GLIC.

Subsidi: Reformasi atau beban rakyat?
Reformasi subsidi merupakan antara keputusan paling sukar bagi Kerajaan Madani. Secara prinsip, subsidi pukal yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi bersama golongan berpendapatan rendah memang sukar dipertahankan dari sudut kecekapan fiskal. Namun, persoalannya bukan sama ada subsidi perlu direformasi, tetapi bagaimana dan pada kadar apa reformasi itu dilakukan.
Jika subsidi bahan api dikurangkan tanpa mekanisme perlindungan sosial yang cukup pantas dan tepat, kosnya boleh dipindahkan daripada kerajaan kepada isi rumah. Golongan berpendapatan rendah mungkin tidak menerima subsidi secara langsung dalam jumlah besar, tetapi mereka tetap terdedah kepada kesan pusingan kedua seperti kenaikan kos pengangkutan, makanan dan perkhidmatan.
Oleh itu, pendekatan kerajaan perlu bergerak daripada “potong subsidi dahulu, bantu kemudian” kepada “bina perlindungan sosial dahulu, kemudian reformasi subsidi secara berperingkat”. Bantuan tunai bersasar perlu lebih dinamik dan disesuaikan dengan perubahan kos sara hidup.
Kritikan yang lebih asas ialah kerajaan tidak boleh menggunakan reformasi subsidi sebagai pengganti kepada reformasi struktur pendapatan. Jika gaji sebenar tidak meningkat, produktiviti buruh yang merosot kepada RM46.50 sejam pada S2 2026 berbanding RM47.70 pada akhir 2025 tidak diterjemahkan kepada upah dan pekerjaan berkualiti masih terhad, pengurangan subsidi hanya akan meningkatkan tekanan ke atas isi rumah.
Malah, pasaran kerja juga berterusan kerugian modal insan apabila penglibatan tenaga kerja wanita berpendidikan tinggi merosot drastik daripada 74.5 peratus (umur 25–34) kepada 60.0 peratus (umur 45–54) atas faktor pembentukan keluarga.
Jangan berjimat pada pelaburan produktif
Salah satu isu paling penting ialah kecenderungan untuk mengutamakan perbelanjaan yang memberi kesan segera tetapi kurang memberi pulangan produktif jangka panjang. Dalam keadaan fiskal terhad, kerajaan memang perlu berjimat. Namun, berjimat dengan mengurangkan perbelanjaan pembangunan yang produktif boleh menjadi bentuk pembaziran yang lebih mahal pada masa hadapan.
Perbelanjaan pembangunan dalam pendidikan, kesihatan, infrastruktur, teknologi, tenaga, pengangkutan dan kapasiti produktif seharusnya dilihat sebagai pelaburan, bukannya semata-mata kos. Jika bahagian perbelanjaan pembangunan semakin tertekan, negara mungkin mempunyai ruang fiskal yang lebih baik dalam jangka pendek tetapi kehilangan kapasiti pertumbuhan dalam jangka panjang.
Kerajaan Madani perlu menjelaskan dengan lebih telus projek pembangunan mana yang benar-benar mempunyai nilai tambah tinggi dan mana yang wajar ditangguhkan. Setiap projek besar seharusnya dinilai berdasarkan 'whole-of-life cost, value for money', kesan produktiviti dan manfaat kepada rakyat, bukan sekadar nilai kontrak atau jumlah pekerjaan sementara yang diwujudkan.
FDI: Besar angkanya, besar limpahannya?
Kemasukan pelaburan asing, khususnya dalam pusat data, AI dan ekonomi digital, sering dianggap sebagai tanda keyakinan pelabur terhadap Malaysia. Namun, jumlah pelaburan yang diumumkan tidak semestinya sama dengan nilai ekonomi yang akhirnya kekal dalam negara.
Kerajaan Madani perlu lebih kritis terhadap model pembangunan yang bergantung kepada pengumuman pelaburan besar. Persoalan sebenar ialah berapa banyak pekerjaan berkemahiran tinggi diwujudkan untuk rakyat tempatan, berapa banyak syarikat tempatan masuk ke dalam rantaian bekalan, berapa besar pemindahan teknologi berlaku dan sejauh mana pelaburan tersebut meningkatkan produktiviti perusahaan tempatan.
Pusat data juga membawa persoalan penggunaan tenaga, air, tanah dan infrastruktur. Jika negara menanggung kos sumber awam yang besar tetapi limpahan domestik terhad, maka pelaburan tersebut perlu dinilai semula.
Justeru, prinsip “FDI at any cost” tidak lagi sesuai. Malaysia memerlukan 'FDI with measurable domestic spillovers'. Insentif pelaburan perlu dikaitkan dengan hasil yang boleh diukur, bukan hanya jumlah modal yang diumumkan.
Perlindungan sosial tidak boleh ad hoc
Tekanan terhadap simpanan persaraan dan peningkatan kos sara hidup menunjukkan bahawa perlindungan sosial perlu menjadi agenda fiskal utama, lantas meletakkan program pindahan tunai seperti STR dan SARA sebagai talian hayat kuasa beli rakyat. Pengeluaran simpanan persaraan secara besar-besaran ketika tempoh krisis menunjukkan bahawa ramai isi rumah terpaksa menggunakan aset masa depan untuk memenuhi keperluan semasa.
Intervensi utiliti tempatan seperti pemberian diskaun bil elektrik menyeluruh di Sarawak pula terbukti sangat ampuh meredakan tekanan kewangan apabila berjaya mencatatkan kadar inflasi terendah di Malaysia iaitu 0.3 peratus berbanding purata nasional 1.8 peratus.
Ini menimbulkan persoalan yang lebih besar iaitu adakah sistem perlindungan sosial Malaysia cukup kukuh untuk menghadapi masyarakat yang semakin menua, pekerjaan tidak formal dan ekonomi gig yang berkembang?
Kerajaan Madani tidak seharusnya bergantung kepada bantuan tunai ad hoc setiap kali berlaku tekanan ekonomi. Pendekatan sedemikian mungkin membantu dalam jangka pendek tetapi tidak menyelesaikan punca masalah.
Sistem perlindungan sosial perlu dibina berdasarkan kitaran hidup, termasuk perlindungan untuk pengangguran, kesihatan, penjagaan warga emas, persaraan dan kehilangan pendapatan.
Pada masa yang sama, isu kesihatan dan 'care economy' perlu diberi perhatian lebih besar. Pelaburan dalam kesihatan awam, penjagaan warga emas dan sokongan keluarga bukan hanya perbelanjaan sosial; ia juga merupakan pelaburan terhadap produktiviti tenaga kerja dan kestabilan masyarakat.
KDNK naik, tetapi apakah kesan kepada rakyat?
Satu lagi kelemahan yang perlu diberi perhatian ialah penggunaan angka nasional sebagai gambaran keseluruhan kesejahteraan. Malaysia mungkin mencatat pertumbuhan ekonomi yang positif, tetapi pengalaman rakyat berbeza mengikut negeri, daerah dan kumpulan pendapatan.
Jika 144 daripada 166 daerah pentadbiran (86.7 peratus) di Malaysia masih mencatatkan median pendapatan isi rumah di bawah paras median nasional (RM7,017) manakala 53 peratus Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tertumpu di kawasan luar bandar, maka dasar fiskal yang terlalu berpusat mungkin gagal menangani realiti tempatan.
Pencapaian makro seperti KDNK 6.0 peratus dan pelaburan menelan ratusan bilion ringgit tidak dapat menutup kerentanan bekalan makanan seperti kebergantungan import jagung biji. Kerajaan perlu memberi lebih perhatian kepada 'district-level wellbeing', bukan sekadar indikator makro, dengan beralih kepada penggunaan automasi data mikro yang pantas dan terperinci.
Dalam konteks ini, formula pengagihan fiskal kepada negeri dan daerah perlu lebih telus, berasaskan keperluan dan mengambil kira jurang infrastruktur, pendapatan, kesihatan, pendidikan serta kapasiti ekonomi. Desentralisasi fiskal yang terkawal boleh membolehkan kerajaan tempatan bertindak lebih pantas terhadap masalah setempat.
Wang awam, akauntabiliti awam
Akhirnya, kejayaan Belanjawan 2027 bergantung kepada tatakelola. Kerajaan boleh memperuntukkan dana yang besar, tetapi tanpa ketelusan, pemantauan dan pengukuran hasil yang kukuh, perbelanjaan awam berisiko menghasilkan pulangan yang rendah.
Kerajaan Madani perlu lebih tegas dalam memisahkan secara jelas antara belanjawan kerajaan, pelaburan GLC/GLIC dan aktiviti komersial. Pelaburan GLC atau GLIC tidak sepatutnya mengaburkan kedudukan sebenar kewangan sektor awam. Pada masa yang sama, perolehan kerajaan, audit, kos projek dan prestasi program perlu lebih mudah diakses dan difahami oleh orang awam.
Pendekatan 'outcome-based budgeting' juga perlu diperkuat. Rakyat tidak sepatutnya hanya diberitahu bahawa kerajaan telah membelanjakan sekian banyak bilion. Mereka perlu diberitahu apa yang berubah hasil daripada perbelanjaan tersebut; berapa banyak pekerjaan berkualiti diwujudkan, berapa ramai yang keluar daripada kemiskinan, berapa banyak masa perjalanan dijimatkan, berapa banyak kesihatan rakyat bertambah baik dan berapa banyak produktiviti meningkat.
Kesimpulan
Belanjawan 2027 sepatutnya menjadi lebih daripada dokumen kewangan tahunan. Ia perlu menjadi ujian sama ada agenda reformasi Kerajaan Madani benar-benar mampu bergerak daripada slogan kepada perubahan struktur.
Kerajaan perlu mengutamakan kesejahteraan rakyat di peringkat tempatan, perbelanjaan pembangunan yang produktif, perlindungan sosial, reformasi cukai yang adil, tenaga hijau, digitalisasi dan tatakelola yang lebih telus. Kerajaan perlu mempertimbangkan semula insentif pelaburan yang tidak menghasilkan limpahan domestik yang jelas serta model pengagihan fiskal yang tidak cukup responsif terhadap jurang wilayah.
Pada masa yang sama, kerajaan perlu menghentikan kebergantungan kepada subsidi pukal, pengeluaran simpanan persaraan secara ad hoc dan pendekatan perbelanjaan yang mengutamakan pengumuman berbanding hasil.
Kritikan terhadap Kerajaan Madani bukan bermaksud menolak agenda reformasi. Sebaliknya, kritikan diperlukan supaya reformasi menjadi lebih konsisten, berani dan berkesan. Cabaran sebenar bukan kekurangan dasar, tetapi kemampuan untuk membuat pilihan yang sukar apabila sumber negara terhad.
Belanjawan 2027 perlu bergerak daripada logik “berapa banyak kerajaan belanjakan” kepada “berapa besar nilai yang rakyat dan negara terima”.
Dalam konteks Ekonomi Madani, disiplin fiskal tidak seharusnya dilihat bertentangan dengan kesejahteraan rakyat. Sebaliknya, disiplin fiskal, pertumbuhan produktif, perlindungan sosial dan tatakelola yang baik perlu bergerak bersama. Hanya melalui keseimbangan tersebut sumber awam yang terhad dapat menghasilkan nilai nasional yang lebih besar dan berkekalan.
RUMUSAN JANAAN AI
> Ukuran kejayaan Belanjawan 2027 perlu beralih daripada sekadar saiz peruntukan atau angka pertumbuhan makro kepada nilai sebenar yang diterima oleh rakyat. Peningkatan KDNK tidak mampu membuktikan kejayaan dasar jika rantaian bekalan terjejas, kos sara hidup meningkat dan pendapatan sebenar menyusut.
> Ruang fiskal yang semakin sempit menuntut kebertanggungjawaban penuh terhadap sumber pembiayaan dan kos peluang bagi setiap perbelanjaan. Kerajaan mesti telus mengenai komitmen kewangan sebenar dan mengelakkan ilusi disiplin fiskal yang disembunyikan melalui tanggungan di luar belanjawan melibatkan GLC serta GLIC.
> Reformasi subsidi tidak wajar dijadikan alasan untuk memindahkan kos kepada isi rumah tanpa jaring keselamatan sosial yang tepat. Sistem perlindungan sosial menyeluruh berasaskan kitaran hidup mesti dibina terlebih dahulu, bukannya bergantung kepada bantuan tunai ad hoc setiap kali tekanan ekonomi berlaku.
> Penjimatan fiskal tidak boleh mengorbankan perbelanjaan pembangunan berimpak tinggi yang menjana produktiviti jangka panjang. Bagi kemasukan pelaburan asing, keutamaan mesti diletakkan pada ukuran limpahan domestik yang jelas seperti pemindahan teknologi dan kerja berkualiti, bukan sekadar berbangga dengan angka pengumuman modal.
> Keberkesanan wang awam bergantung kepada tatakelola berasaskan hasil yang membolehkan rakyat melihat dan merasai impak sebenar daripada perbelanjaan kerajaan. Pada masa yang sama, pengagihan fiskal perlu didesentralisasi supaya lebih responsif terhadap realiti infrastruktur dan kemiskinan di peringkat tempatan, tidak lagi dibutakan oleh angka purata nasional.
*** Eikhwan Ali ialah Pegawai Eksekutif Strategi Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
