Belanjawan 2027: 'Tiada petanda peruntukan untuk pembangkang' - Shahidan Kassim

Shahidan
Shahidan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mendakwa Belanjawan 2027 masih tidak menunjukkan sebarang petanda bahawa kerajaan akan memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang seperti yang dinikmati wakil rakyat kerajaan.

Beliau berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana peruntukan berkenaan bukan untuk kepentingan peribadi ahli Parlimen, sebaliknya bagi membantu rakyat yang memerlukan di kawasan masing-masing.

“Perkara yang bagus untuk rakyat dalam Belanjawan2027 kita sokong tetapi ada beberapa perkara yang harus diberi perhatian. Pertama, (pembentangan) bajet ini dimulakan dengan ayat Quran yang menyebut (tentang) hari esok dan juga (mengenai) janji.

“Kita mesti tunai janji dan adil (tapi) dalam bajet ini tak nampak satu petanda yang menunjukkan bahawa Perdana Menteri akan memberikan keadilan kepada semua ahli Parlimen. Ahli Parlimen pembangkang (masih) tak dapat peruntukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan memperuntukkan sejumlah RM459.8 bilion bagi Belanjawan 2027, meningkat sebanyak RM40.6 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Belanjawan Madani Kelima bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ itu memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang upah rakyat di samping menstruktur semula sistem percukaian negara.

Mengulas lanjut, Shahidan menegaskan, soal peruntukan pembangkang berkenaan tidak mencerminkan prinsip keadilan yang sepatutnya menjadi antara perkara utama dalam pentadbiran kerajaan, meskipun reformasi turut ditekankan.

Beliau mendakwa, dalam tempoh empat tahun, setiap ahli Parlimen kerajaan telah menerima peruntukan berjumlah lebih RM15 juta namun layanan berbeza diterima wakil rakyat pembangkang.

Katanya, peruntukan yang diharapkan itu bukan untuk kegunaan ahli Parlimen tetapi untuk membantu golongan yang memerlukan termasuk pelajar institusi pengajian tinggi, murid sekolah, ibu tunggal, anak yatim dan keluarga miskin.

Artikel Berkaitan:

“Patutnya dari segi ini kena tunai dulu. Sebab duit ini bukan untuk kami. Duit ini untuk pelajar-pelajar yang nak pergi belajar di pusat pengajian tinggi, pelajar-pelajar yang nak masuk sekolah, ibu tunggal, anak yatim, orang miskin dan sebagainya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!