ShopeePay jadi platform pengedaran digital pertama Zurich Life

ZURICH Life Insurance Malaysia Berhad (ZLIMB) bekerjasama dengan ShopeePay Malaysia sebagai rakan kerjasama platform pengedaran digital pertamanya bagi menyediakan perlindungan insurans hayat yang selamat dan mudah diakses, sekali gus merapatkan jurang antara kemudahan akses kewangan dan jaminan kewangan jangka panjang
Kerjasama berkenaan turut menyaksikan pelancaran Pelan Simpanan dan Perlindungan Zurich menerusi aplikasi ShopeePay yang menggabungkan elemen simpanan dengan perlindungan hayat serta menawarkan bayaran tunai terjamin secara berkala.
Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee berkata, penawaran pelan ZLIMB menerusi ShopeePay memberikan pengguna akses lebih mudah kepada perlindungan kewangan melalui platform digital yang digunakan dalam kehidupan seharian.
"Dengan menjadikan perlindungan lebih mudah diakses, kami memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengambil langkah bermakna dalam membina masa hadapan kewangan mereka.
"Kami berharap dapat terus memperkukuh kerjasama dengan ZLIMB, selain mengembangkan rangkaian produk perlindungan bersama Zurich Takaful Malaysia Berhad pada tahun hadapan," katanya.
Beliau berkata sedemikian pada Majlis 'Everyday Protection, Made For All' bersempena pelancaran Pelan Simpanan & Perlindungan Zurich di aplikasi ShopeePay di sebuah hotel, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Insurans Monee, Yang Yang; Ketua Pegawai Eksekutif ZLIMB, Pauline Teoh dan Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful Malaysia Berhad, Nur Fatihah Mustafa.
Alain menambah, pihak mereka berhasrat untuk bersama-sama menjadikan perlindungan berkualiti lebih mampu milik, mudah difahami dan mudah diakses oleh komuniti yang memerlukannya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Negara Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, pihaknya berusaha mendekati rakyat menerusi platform yang sememangnya digunakan mereka berikutan jurang perlindungan di Malaysia berkait rapat dengan aspek akses.
“Pelancaran Pelan Simpanan dan Perlindungan Zurich di aplikasi Shopee dan ShopeePay memberikan rakyat Malaysia cara lebih mudah bukan sahaja untuk melindungi masa hadapan mereka, tetapi juga membinanya dalam ekosistem digital yang mereka kenali dan percayai," ujarnya lagi.
Menurutnya, langkah itu merupakan kesinambungan daripada pengenalan Insurans Penyakit Kritikal Zurich yang menyediakan perlindungan terhadap keadaan kesihatan yang serius.
Beliau berkata, Zurich juga akan memudahkan proses penyertaan takaful keluarga pada tahun hadapan bagi memberikan lebih ramai rakyat Malaysia pilihan perlindungan yang patuh Syariah.
Pelan Simpanan dan Perlindungan Zurich itu ditawarkan dengan caruman permulaan serendah RM500 bagi tempoh dua tahun dan menggabungkan pertumbuhan simpanan dengan perlindungan hayat.
Antara manfaat ditawarkan termasuk jaminan pulangan tunai setiap enam bulan, perlindungan hayat dan hilang upaya sebanyak 105 peratus daripada jumlah premium telah dibayar serta perlindungan 100 peratus daripada jumlah prinsipal pada tempoh matang selepas dua tahun.
Pelan premium tunggal itu turut menawarkan pilihan pengeluaran tunai awal secara fleksibel.
Jumlah caruman permulaan itu akan dikurangkan kepada RM100 tidak lama lagi bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan manfaat pelan berkenaan.
Pengguna boleh mendapatkan pelan berkenaan menerusi aplikasi ShopeePay dengan memilih ‘Insurans’ di halaman utama, diikuti pilihan ‘Endowmen’.
Manfaat yang dibayar di bawah produk itu dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), tertakluk kepada had yang ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

