Sindiket scam pelaburan tumpas, 12 warga asing ditahan

Azry Akmar
Azry Akmar
A
A
A

KUANTAN - Taktik sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menyasarkan mangsa dari China dan Eropah terbongkar selepas 12 individu ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi di daerah ini pada Selasa.

Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Kuantan itu turut membawa kepada rampasan pelbagai peralatan bernilai kira-kira RM215,000.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, operasi dijalankan susulan maklumat mengenai kegiatan pusat panggilan penipuan dalam talian yang mempunyai kaitan dengan serbuan Jabatan Imigresen Malaysia di sebuah resort di Sungai Lembing.

Menurutnya, pasukan Risikan Operasi JSJK Pahang kemudian menjalankan pemantauan dan hasilnya seorang lelaki warga China berusia 35 tahun ditahan ketika memasuki kawasan resort berkenaan.

“Maklumat daripada suspek kemudian membawa kepada pemeriksaan di lima lokasi sekitar Kuantan dan penahanan 11 individu lagi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, 12 individu berusia antara 21 hingga 35 tahun itu terdiri daripada 10 lelaki warga China, seorang lelaki warga India dan seorang wanita warga Myanmar.

“Semakan awal mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Azry Akmar berkata, pemeriksaan dan analisis barang kes mendapati sindiket itu menjalankan penipuan pelaburan dalam talian dengan menyasarkan mangsa dari China dan Eropah.

“Sindiket beroperasi sebagai khidmat pelanggan menggunakan aplikasi pelaburan dalam talian Minca untuk memperdayakan mangsa menyertai pelaburan tidak wujud dengan menjanjikan pulangan lumayan.

Artikel Berkaitan:

“Semakan komunikasi menerusi Telegram dan Meta Business turut menemukan perbualan antara sindiket dengan mangsa berkaitan tawaran pelaburan tersebut,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket menggunakan talian internet tempatan dan dipercayai beroperasi di Malaysia sejak kira-kira dua bulan lalu.

Polis turut merampas 14 telefon bimbit, tujuh komputer, sebuah komputer riba, dua penghala Wi-Fi, sebuah kenderaan dan alat kawalan jauh kenderaan dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM215,000.

“Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti mangsa, jumlah kerugian sebenar serta rangkaian sindiket yang terlibat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120(B) Kanun Keseksaan, manakala semua suspek serta barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!