2,346 anak Pahang nikmati pengurangan bayaran PTPTN

Wan Rosdy ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan pada Jumaat.
Wan Rosdy ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN – Seramai 2,346 anak Pahang dijangka menerima manfaat menerusi pelaksanaan Subsidi Pengurangan Pembayaran Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Pahang 1st pada tahun hadapan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif itu dikhususkan kepada peminjam anak Pahang yang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah pertama.

"Kerajaan negeri memahami beban yang ditanggung oleh graduan dalam melunaskan pinjaman pendidikan.

"Justeru, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi subsidi pengurangan pembayaran pinjaman PTPTN khusus kepada peminjam anak Pahang di peringkat Ijazah pertama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Wan Rosdy memberitahu, pendidikan bukan sekadar mengejar kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi juga membentuk generasi yang mempunyai jati diri, integriti, disiplin dan kemampuan memimpin.

Katanya, sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi memperkukuh Akademi Pahang 1st manakala RM 2 juta lagi disediakan untuk sumbangan komputer riba kepada anak Pahang yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Beliau menambah, kerajaan negeri juga meluaskan ruang kepada pembangunan bakat, inovasi dan kecemerlangan pendidikan menerusi peruntukan RM3.47 juta.

"Sebanyak RM2 juta bagi Program Pahang Lead 2027 dan sejumlah RM1 juta disediakan bagi Geran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Pahang.

"Selain itu, sebanyak RM370,000 untuk Anugerah Kecemerlangan Sekolah Pahang 1st serta RM100,000 bagi Pertandingan Inovasi Kecerdasan Buatan (AI) Antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM16.3 juta bagi pembangunan kampus dan geran mengurus Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS).

Menurutnya, sebanyak RM2 juta turut disediakan menerusi Biasiswa Inisiatif Bantuan Negeri Pahang, masing-masing RM1 juta kepada UNIQSAAS dan UCYP University bagi Pusat Bahasa Tamil serta Mandarin.

Bagi memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri menyediakan RM2.2 juta untuk pembiayaan pembangunan Pahang Skills.

"Sebanyak RM1 juta menerusi Biasiswa Inisiatif Bantuan Negeri Pahang bagi program TVET Talent Development," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!