Piala ASEAN FIFA: Harimau Malaya catat lonjakan tertinggi ranking FIFA

SKUAD Harimau Malaya dijangka muncul sebagai pasukan yang mencatat lonjakan tertinggi dalam kemas kini ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan datang bagi rantau ASEAN.
Malaysia dijangka memperoleh tambahan 15.05 mata selepas mengharungi empat perlawanan sepanjang kempen Piala ASEAN FIFA 2026.
Berdasarkan kemas kini tidak rasmi di laman sesawang FIFA, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu dijangka melonjak tiga anak tangga daripada kedudukan ke-136 kepada ke-133 dunia.
Tambahan mata tersebut hadir menerusi empat aksi yang menyaksikan Harimau Malaya meraih kemenangan ke atas Bangladesh, seri dengan Indonesia, membelasah Singapura sebelum menutup kempen dengan kemenangan 1-0 ke atas Vietnam dalam penentuan tempat ketiga.
Malaysia memperoleh 3.30 mata hasil kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh manakala keputusan seri tanpa jaringan dengan Indonesia menyumbang 0.68 mata.
Kemenangan besar 6-0 ke atas Singapura pula memberikan tambahan 4.74 mata sebelum Harimau Malaya mengutip 6.33 mata selepas menewaskan Vietnam 1-0.
Kutipan berkenaan menjadikan Malaysia pasukan yang mencatat peningkatan mata paling tinggi berbanding negara lain di Asia Tenggara sepanjang jendela antarabangsa September-Oktober.
Dalam pada itu, Indonesia yang muncul juara kejohanan turut dijangka memperbaiki kedudukan dengan kenaikan satu anak tangga manakala Thailand yang menamatkan saingan sebagai naib juara dijangka naik ke tangga ke-93 dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
