Pelarian Rohingya: Mencari jalan penyelesaian seimbang

Penyelesaian isu pelarian Rohingya memerlukan dasar yang jelas, konsisten dan dapat diteruskan dalam jangka panjang. Foto: Reuters
Penyelesaian isu pelarian Rohingya memerlukan dasar yang jelas, konsisten dan dapat diteruskan dalam jangka panjang. Foto: Reuters
A
A
A

ISU pelarian Rohingya kembali menjadi perhatian apabila jumlah mereka di Malaysia didakwa mencecah lebih 200,000 secara tidak rasmi, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pendekatan yang sesuai untuk menguruskan isu berkenaan dalam tempoh panjang.

Dalam perbahasan Pengurusan Pelarian di Malaysia di Dewan Rakyat pada Isnin, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan isu itu sebagai ‘bom jangka’ yang boleh membawa implikasi lebih besar terhadap politik dan keselamatan negara sekiranya tidak ditangani dengan pendekatan yang bersesuaian.

Perkara itu juga perlu dilihat dalam konteks tanggungjawab Malaysia yang sebelum ini dijanjikan sebagai tempat sementara bagi proses dokumentasi sebelum pelarian ditempatkan semula di negara maju.

Dalam masa sama, perbandingan jumlah pelarian Rohingya di Malaysia dengan Indonesia, Thailand dan India yang dibangkitkan Syed Saddiq menunjukkan keperluan untuk melihat bagaimana tanggungjawab berkaitan pengurusan pelarian dapat dikongsi dengan lebih seimbang.

Aspek keselamatan turut menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian, khususnya apabila kemasukan secara tidak terkawal boleh membuka ruang kepada pihak tertentu untuk mengambil kesempatan terhadap keadaan pelarian.

Cadangan supaya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengambil pendekatan ‘toleransi sifar’ terhadap kemasukan pelarian secara tidak terkawal melalui laluan laut pula mencerminkan keperluan memperkemas kawalan sempadan negara.

Namun, usaha menangani isu tersebut juga perlu mengambil kira aspek kemanusiaan supaya langkah yang dilaksanakan dapat mencapai keseimbangan antara kepentingan keselamatan dengan keadaan golongan pelarian yang berada di Malaysia.

Dalam konteks itu, cadangan menubuhkan Jawatankuasa Khas di Dewan Rakyat secara dwipartisan boleh menjadi ruang untuk mencari pendekatan yang lebih menyeluruh dan mempunyai kesinambungan tanpa terlalu dipengaruhi perkembangan politik semasa.

Pendekatan bersama antara kerajaan dan pembangkang juga penting bagi membolehkan isu ini dilihat daripada pelbagai sudut, termasuk penguatkuasaan, dokumentasi, penempatan semula dan tanggungjawab kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

Justeru, penyelesaian isu pelarian Rohingya memerlukan dasar yang jelas, konsisten dan dapat diteruskan dalam jangka panjang supaya Malaysia dapat menguruskan kepentingan keselamatan negara, pada masa sama mengambil kira aspek kemanusiaan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!