Syura, adab asas perkukuh kebijaksanaan dan kekuatan ummah

A
A
A

Foto kenangan sempena Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-75 pada 29 September 2026 berlangsung di Dewan Syura, Kompleks Islam Putrajaya.
Foto kenangan sempena Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-75 pada 29 September 2026 berlangsung di Dewan Syura, Kompleks Islam Putrajaya.

PUTRAJAYA – Budaya syura yang dipandu adab perlu terus diperkasakan dalam pentadbiran hal ehwal Islam serta dijadikan asas mengurus perbezaan pandangan bagi melahirkan keputusan yang lebih matang, seimbang dan memberi manfaat kepada ummah.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, syura bukan sekadar proses bermesyuarat, sebaliknya budaya yang menuntut kesediaan mendengar pandangan, keberanian menyuarakan pendapat dengan hikmah dan kelapangan menerima pandangan orang lain, manakala adab menjadi neraca yang memastikan setiap perbezaan diurus secara matang dan berhemah.

Menurutnya, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-75 disifatkan sebagai pedoman penting dalam memperkukuh budaya syura dan adab sebagai asas kebijaksanaan serta kekuatan ummah.

Sultan Nazrin sebagai Pengerusi MKI telah bertitah sedemikian pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-75 telah berlangsung di Dewan Syura, Kompleks Islam Putrajaya pada 29 September lalu.

“Baginda membawa mesej besar mengenai kepentingan mengurus perbezaan pandangan secara berhikmah, membina persefahaman serta mencari kebijaksanaan dalam membuat keputusan,” katanya menerusi satu kenyataan.

SIRAJUDDIN
SIRAJUDDIN

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Islam meletakkan syura pada kedudukan yang tinggi sebagai budaya membuat keputusan, bukan sekadar memenuhi prosedur mesyuarat atau bertukar pandangan.

Sebaliknya, jelas beliau, syura menuntut kesediaan mendengar pandangan, keberanian menyuarakan pendapat dengan hikmah dan kelapangan menerima pandangan orang lain.

Katanya, perkara itu bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Syura ayat 38 yang meletakkan amalan bermesyuarat sebagai antara ciri orang beriman.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Syura, ayat 38 yang bermaksud:

“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami berikan kepada mereka.

"Ini menunjukkan syura bukan sekadar kaedah pengurusan, malah sebahagian daripada nilai yang membentuk kehidupan seorang Muslim.

"Dalam pengurusan institusi agama, keputusan yang menyentuh kepentingan umat Islam tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa atau hanya berasaskan satu sudut pandang, sebaliknya memerlukan penelitian, ilmu, dalil, fakta dan pertimbangan kemaslahatan semasa," katanya.

Mengulas lanjut, Sirajuddin berkata, syura perlu sentiasa diperkukuh dengan adab kerana perbezaan pandangan tanpa adab boleh bertukar menjadi pertelingkahan dan permusuhan.

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 1448 Hijri bersamaan 2026 Masihi bertemakan, ‘MADANI Dihayati, Ummah Diberkati’ akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 6 hingga 10 Oktober 2026.
Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 1448 Hijri bersamaan 2026 Masihi bertemakan, ‘MADANI Dihayati, Ummah Diberkati’ akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 6 hingga 10 Oktober 2026.

Menurut beliau, adab bukan sekadar kesopanan dalam tutur kata, sebaliknya meliputi hubungan manusia dengan ALLAH SWT, sesama manusia, alam sekitar serta penghormatan terhadap ilmu, pengalaman, kepakaran dan autoriti yang sah.

Katanya, cabaran itu menjadi lebih besar dalam era digital apabila setiap individu mempunyai ruang untuk menyuarakan pandangan melalui media sosial.

"Kebebasan bersuara tidak seharusnya diterjemahkan sebagai kebebasan untuk menghina. Perbezaan pendapat bukan lesen untuk mencaci, manakala kritikan tidak semestinya disertai penghinaan atau membuka aib orang lain.

"Kita boleh berbeza tanpa bermusuh, menegur tanpa menghina dan mempertahankan prinsip tanpa kehilangan adab. Masyarakat hari ini perlu kembali membudayakan sikap mendengar sebelum menjawab, memahami sebelum menghukum dan meneliti sebelum menyebarkan sesuatu maklumat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JAKIM bersama seluruh agensi hal ehwal Islam akan terus memperkukuh budaya syura dalam pentadbiran dengan memastikan setiap perbincangan berasaskan ilmu, dalil, fakta dan kemaslahatan.

Katanya, pandangan yang berbeza perlu diberikan ruang untuk dinilai secara objektif, manakala keputusan yang dicapai hendaklah dilaksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

No Image Caption

Beliau turut menegaskan institusi agama perlu menjadi contoh dalam menguruskan perbezaan pandangan secara matang melalui pendekatan dakwah yang berhikmah, di samping menampilkan ketegasan terhadap prinsip agama tanpa mengabaikan kelembutan dalam penyampaian.

50 peserta dari 38 negara hadir ke Malaysia

Sementara itu, Sirajuddin berkata, Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 1448 Hijrah bersamaan 2026 Masihi akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 6 hingga 10 Oktober ini dengan mengangkat tema ‘MADANI Dihayati, Ummah Diberkati’.

“Seramai 50 peserta terbaik dari 38 negara akan hadir secara fizikal ke Malaysia, masing-masing melibatkan 25 peserta bagi kategori tilawah dan 25 peserta bagi kategori hafazan,” ujarnya.

Menurutnya, pemilihan maqra' turut memberi penekanan kepada mesej perpaduan, syura, adab, ta'ayush, ihsan, integriti, kemakmuran dan pembangunan insan agar pertandingan itu bukan sahaja memperdengarkan keindahan bacaan al-Quran, malah menyampaikan mesej yang dekat dengan realiti masyarakat.

“Pada masa sama, katanya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengangkat Oktober sebagai Bulan al-Quran bagi memperkukuh budaya membaca, memahami, menghayati dan mengamalkan al-Quran menerusi pelbagai program.

“Ia termasuklah kempen membaca al-Quran, tadabbur, kelas tajwid, forum, seminar, khatam al-Quran serta pertandingan tilawah dan hafazan melibatkan agensi agama di peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya.

Beliau berharap usaha itu dapat melahirkan masyarakat MADANI yang berpegang teguh kepada agama, nilai dan adab santun.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!