F1 kembali memukau Sepang, harapan penganjuran semula menyala

Pemandu Red Bull Racing Max Verstappen memecut laju sebelum menjuarai perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia dengan catatan masa 1:47:14.808 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam. Foto: Bernama
Pemandu Red Bull Racing Max Verstappen memecut laju sebelum menjuarai perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia dengan catatan masa 1:47:14.808 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam. Foto: Bernama
A
A
A

SEPANG - Selepas sembilan tahun sepi tanpa deruman jentera Formula Satu (F1), Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kembali bergema semalam, menghidupkan semula kenangan manis sukan permotoran berprestij dunia itu dengan segala yang dirindui peminat -- kelajuan, drama, hujan dan suasana mendebarkan.

Grand Prix (GP) Formula 1 Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 bagaimanapun tidak bermula seperti dirancang apabila hujan lebat memaksa perlumbaan yang dijadualkan pada jam 3 petang ditangguhkan selama 93 minit, sebelum para pelumba akhirnya dapat beraksi di litar basah.

Ketika pelumba berdepan keadaan litar mencabar, ribuan peminat yang membanjiri venue ikonik negara itu, termasuk memenuhi kawasan bukit, tetap setia menunggu tanpa membiarkan hujan mematahkan semangat mereka.

Berbekalkan payung dan baju hujan, mereka sabar menantikan aksi bermula sambil terus menghidupkan suasana kepulangan F1 ke Sepang, selepas kali terakhir menyaksikan jentera perlumbaan berprestij itu beraksi di sini pada 2017.

Hujan yang mencurah di Sepang turut tidak terkecuali ‘menyambut’ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum perlumbaan bermula, Anwar dilihat meredah hujan di litar hingga pakaiannya basah kuyup sambil merasai sendiri kemeriahan menjelang aksi yang cukup dinanti-nantikan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipayungi pengiring ketika berada di Litar Antarabangsa Sepang sempena perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia semalam. Foto: Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipayungi pengiring ketika berada di Litar Antarabangsa Sepang sempena perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia semalam. Foto: Bernama

Meskipun litar dibasahi hujan, kemeriahan di kawasan penonton tidak sedikit pun surut, mencerminkan betapa besarnya kerinduan peminat terhadap F1 selepas sembilan tahun sukan itu tidak singgah di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Rekod kehadiran baharu

Hujung minggu perlumbaan itu menarik keseluruhan 261,000 penonton, sekali gus mencatat rekod kehadiran baharu di SIC dan mengatasi angka tertinggi sebelum ini sebanyak 126,690 penonton pada GP Malaysia 2008.

Hari bersejarah itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk menyaksikan perlumbaan bersama barisan pemimpin tertinggi Malaysia, Bahrain dan Brunei.

Turut hadir Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah.

Pada Julai lepas, F1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain 2026 dari 2 hingga 4 Okt susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Kembalinya F1 ke Malaysia adalah hasil perbincangan dan kerjasama melibatkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al Khalifa serta kerajaan kedua-dua negara bagi memastikan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026.

Perlumbaan itu sebelum ini dibatalkan pada awal musim susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Malaysia pernah menganjurkan GP Malaysia di SIC dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1 berikutan faktor kos penganjuran.

Ribuan penonton menyaksikan aksi pemandu Oracle Red Bull Racing, Max Verstappen pada perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang semalam. Foto: Bernama
Ribuan penonton menyaksikan aksi pemandu Oracle Red Bull Racing, Max Verstappen pada perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang semalam. Foto: Bernama

Kehadiran semula F1 ke Sepang bukan sahaja mengubat kerinduan peminat tempatan, malah sambutan luar biasa sepanjang hujung minggu turut meninggalkan kesan kepada barisan pelumba.

Juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton dari Ferrari, yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, nyata terpesona dengan sambutan diberikan peminat di Sepang.

"Dengar sahaja sorakan mereka. Saya rasa ini jumlah penonton terbesar pernah kami lihat di sini, sekurang-kurangnya sepanjang saya berlumba. Saya sukakan tenaga ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Malaysia kerana menyambut kami,” katanya.

Kenangan manis

Bagi Max Verstappen, Sepang sekali lagi menjadi pentas mencipta kenangan manis apabila pelumba Red Bull Racing itu meraih kemenangan pertamanya musim ini, manakala pendahulu kejuaraan dunia Kimi Antonelli dari Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team muncul naib juara.

Keadaan di Sepang ternyata menguji ketahanan fizikal pelumba, dengan pelumba Audi Gabriel Bortoleto antara yang mengakui betapa mencabarnya cuaca panas ketika sesi latihan Jumaat lepas.

Di luar litar, acara berkenaan turut membuka ruang kepada rakyat Malaysia dan pengunjung antarabangsa mengenali budaya Bahrain menerusi pavilion khas, persembahan tradisional serta sajian makanan negara itu.

Selepas hujung minggu yang bermula dengan cuaca terik sebelum hujan mencurah pada hari perlumbaan, Sepang sekali lagi mengingatkan dunia mengapa cuacanya yang sukar diramal serta karakter litar mencabar menjadikannya antara gelanggang paling unik dalam sejarah Formula 1.

Namun, ketika deruman enjin berhenti dan sorakan puluhan ribu peminat beransur reda, hujung minggu penuh nostalgia itu meninggalkan satu persoalan -- adakah mereka perlu menunggu lama lagi untuk melihat F1 kembali ke Sepang?

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah memulakan perbincangan mengenai kemungkinan Malaysia kembali menganjurkan F1, dengan rundingan lanjut dijangka diadakan bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1 Stefano Domenicali.

Walaupun perbincangan itu masih di peringkat awal, bagi peminat yang sanggup mengharungi cuaca terik, hujan mencurah serta penantian panjang sebelum perlumbaan bermula, kemungkinan F1 kembali ke Sepang sudah cukup untuk menyalakan harapan.

Selepas sembilan tahun menunggu, deruman jentera F1 akhirnya kembali bergema dan untuk satu hujung minggu yang pasti dikenang, Sepang sekali lagi menjadi milik peminat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!