Kompaun RM1,000 gagal pamer harga gas LPG

Anggota KPDNHEP Cawangan Sepang memeriksa sebuah kedai runcit di Salak Tinggi di sini semalam.
Anggota KPDNHEP Cawangan Sepang memeriksa sebuah kedai runcit di Salak Tinggi di sini semalam.
A
A
A

SEPANG - Tindakan pemilik sebuah kedai runcit di Salak Tinggi di sini yang gagal mempamerkan tanda harga dengan menjual tong gas petroleum cecair (LPG) di luar harga kawalan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengundang padah apabila dikompaun RM1,000, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, tindakan peniaga terbabit terbongkar selepas pemeriksaan KPDNHEP Cawangan Sepang kira-kira jam 12 tengah hari.

"Pemeriksaan hasil aduan awam mendapati peniaga terbabit tidak mempamerkan tanda harga pada tong gas LPG yang dijual.

"Siasatan mendapati kedai runcit terbabit menjual tong gas LPG bersaiz 14 kilogram dengan harga RM28 berbanding harga kawalan yang ditetapkan iaitu RM26.60," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Muhamad Zikril Azan Abdullah
Muhamad Zikril Azan Abdullah

Beliau berkata, tindakan kompaun RM1,000 telah dikenakan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Katanya, dipercayai peniaga terbabit tidak meletakkan tanda harga pada barangan terbabit untuk mengambil kesempatan menaikkan harga.

Tegasnya, beliau memberikan peringatan dan amaran kepada semua peniaga tidak kira siapa supaya mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas ke atas mana-mana peniaga yang cuba mengambil kesempatan lebih-lebih dalam tempoh PKP ini," katanya.