'Jika mereka datang dengan niat baik, kami terima' - Keluarga Irene Sofiya

BATU PAHAT - Keluarga Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, bersedia menerima kunjungan keluarga suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kematian pelajar Tingkatan Empat itu.
Ibu saudara mangsa, Siti Nur Faeza Khyar, 45, berkata, mereka tidak menutup pintu kepada mana-mana pihak yang mahu hadir dengan niat baik, termasuk keluarga suspek.
“Kalau keluarga nak datang atau apa-apa, kami akan terima.
“Kalau datang dengan hati yang terbuka, kami akan terima semua,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, di Kampung Parit Selamat, Yong Peng di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, merakamkan penghargaan kepada Raja Permaisuri Agong atas keprihatinan dan kesudian baginda berangkat menziarahi mereka.
“Kami ingin berterima kasih kepada Raja Permaisuri Agong atas perhatian dan kesempatan untuk bertemu dengan kami serta memberikan sedikit nasihat kepada keluarga,” katanya.
Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menziarahi keluarga Irene Sofiya di Kampung Selamat, Yong Peng, hari ini.

Irene Sofiya, 16, ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Sabtu lalu.
Susulan kejadian itu, tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan, manakala seorang daripada mereka direman enam hari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

