Kes bunuh Irene Sofiya: PIBKS gesa audit keselamatan sekolah

ALOR SETAR – Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan menggesa audit keselamatan sekolah dilakukan secara menyeluruh susulan tragedi seorang pelajar Tingkatan Empat yang ditemukan maut di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Sabtu lalu.
Timbalan Pengerusi PIBKS Kebangsaan merangkap Pengerusi PIBKS Kedah, Zainol Abidin Mohamad berkata, aspek keselamatan di sekolah perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan institusi pendidikan kekal sebagai tempat paling selamat untuk pelajar.
Menurutnya, langkah berkenaan termasuk menyediakan pakej keselamatan sekolah secara menyeluruh dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik dan berisiko tinggi.
“Sekolah sepatutnya menjadi antara tempat paling selamat untuk anak-anak kita.
“Justeru, saya mencadangkan satu pakej keselamatan sekolah yang komprehensif diwujudkan termasuk CCTV di lokasi strategik dan berisiko tinggi, kawalan keluar masuk serta pencahayaan yang mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool, 16, ditemukan maut di sebuah sekolah di Yong Peng selepas polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 5.50 petang.
Mangsa dipercayai mengalami beberapa kecederaan di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Polis kemudian menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di sekitar Yong Peng dan direman selama enam hari bermula 4 hingga 9 Oktober bagi membantu siasatan.
Zainol Abidin berkata, perhatian khusus juga perlu diberikan kepada sesi persekolahan sebelah petang dan waktu selepas tamat sesi apabila jumlah guru serta kakitangan sekolah mungkin berkurangan, namun masih terdapat pelajar berada di kawasan sekolah.
Katanya, peranan pengawal keselamatan sekolah juga wajar diperkasakan supaya tidak hanya tertumpu kepada kawalan di pintu masuk dan keluar.
“Skop tugas pengawal keselamatan perlu diperkukuh supaya mereka turut memantau pergerakan pelajar serta kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi dalam premis sekolah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zainol Abidin menggesa peruntukan sewajarnya juga perlu disediakan bagi memastikan langkah keselamatan dapat dilaksanakan mengikut keperluan setiap sekolah.
“Jangan tunggu seorang lagi anak menjadi mangsa sebelum kita bertindak.
“Keselamatan anak-anak mesti menjadi keutamaan dan bukan sekadar diberi perhatian selepas berlakunya tragedi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

