Raja Permaisuri Agong ziarah keluarga Irene Sofiya

BATU PAHAT - Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menziarahi keluarga arwah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal di Kampung Selamat, Yong Peng di sini pada Isnin.
Baginda diiringi Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Pertemuan selama sejam itu dimulakan dengan bacaan surah Yasin dan tahlil yang dipimpin Kadi Daerah Batu Pahat, Mohd Fauzi Bachok.
Dalam kunjungan itu, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi bagi membantu meringankan beban keluarga arwah.
Baginda turut menyampaikan kata-kata semangat kepada bapa arwah, Mohd Khairool Faisal Khyar, neneknya, Jameyah Rabani serta ahli keluarga yang lain.

Pada Sabtu, Irene Sofiya ditemui dalam keadaan parah di dewan sebuah sekolah di Yong Peng sebelum disahkan meninggal dunia. Mangsa disyaki dibunuh selepas terdapat beberapa kecederaan ditemukan pada pada badannya.
Sebelum itu, nenek dan ibu saudara mangsa bergegas mencarinya selepas dua rakan arwah datang ke rumah bertanya Irene Sofiya berikutan hanya motosikal ditemukan di dalam kawasan sekolah.
Susulan itu, rakan sekelas Irene Sofiya iaitu pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan dan direman enam hari pada Ahad, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

