Malaysia Airlines, BCA dan Novus jalin kerjasama teroka peluang rentas sempadan

MALAYSIA Airlines, PT Bank Central Asia Tbk (BCA) dan Novus Technologies Pte. Ltd. (Novus) menjalin kerjasama strategik bagi meneroka peluang perniagaan baharu merentasi sektor perjalanan, perdagangan, perkhidmatan kewangan dan inovasi digital, sekali gus mengukuhkan hubungan komersial rentas sempadan Malaysia-Indonesia.
Kerjasama memberi tumpuan kepada pembayaran dan perkhidmatan kewangan, penyelesaian pertukaran mata wang asing (FX) dan perbendaharaan, data dan kecerdasan buatan (AI), kerjasama pemasaran serta ekosistem kesetiaan pelanggan.
Kolaborasi turut mewujudkan rangka kerja untuk memajukan pembayaran rentas sempadan, mengoptimumkan keupayaan FX dan perbendaharaan, memanfaatkan pandangan pelanggan berasaskan data, membangunkan peluang pemasaran bersama serta memperkukuh integrasi ekosistem kesetiaan pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG), Bryan Foong berkata, kerjasama itu menggabungkan keupayaan sektor penerbangan, perbankan dan teknologi bagi membuka peluang baharu kepada pengembara serta perniagaan.
“Dengan mengintegrasikan perjalanan, pembayaran, kesetiaan pelanggan dan keupayaan digital, pihaknya berhasrat membuka peluang baharu, memperkukuh hubungan serta menyokong pertumbuhan berterusan koridor Malaysia-Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kerjasama itu dibina berasaskan kehadiran kukuh dan momentum pertumbuhan Malaysia Airlines di Indonesia yang merupakan antara pasaran antarabangsa utama syarikat penerbangan berkenaan.
Pada September 2026, Malaysia Airlines diiktiraf Syarikat Penerbangan Antarabangsa Paling Menepati Masa 2026 oleh Direktorat Jeneral Penerbangan Awam Indonesia (DGCA).
Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat penerbangan berkenaan terhadap kecemerlangan operasi dengan laluan Jakarta (CGK) ke Kuala Lumpur (KUL) mencatat prestasi ketepatan masa tahun hingga kini sebanyak 92.19 peratus sehingga Ogos 2026, selain menunjukkan peningkatan konsisten sepanjang tahun.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pengarah BCA, Armand Hartono berkata, kerjasama itu membolehkan keupayaan pembayaran, penyelesaian transaksi dan digital BCA digabungkan dengan Malaysia Airlines dan Novus untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan di luar Indonesia.
“Dengan menggabungkan keupayaan pembayaran, penyelesaian transaksi dan digital bersama Malaysia Airlines dan Novus, kami dapat terus memberikan perkhidmatan kepada pelanggan di luar sempadan Indonesia, khususnya pada saat-saat penting sepanjang perjalanan mereka,” katanya.
Pada masa sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Novus Technologies, Ricardos Khoury berkata, Novus akan bertindak sebagai jambatan antara ekosistem Malaysia dan Indonesia menerusi peranannya sebagai rakan teknologi serta integrasi yang menghubungkan kedua-dua institusi serta syarikat berkaitan.
Kerjasama dijangka memberikan pengalaman lebih lancar kepada pengguna merentasi perjalanan, pembayaran, perkhidmatan kewangan dan program kesetiaan pelanggan, selain memudahkan urus niaga serta meningkatkan hubungan komersial rentas sempadan bagi perniagaan melalui penyelesaian kewangan dan digital bersepadu.
Menerusi kerjasama strategik itu juga, Malaysia Airlines, BCA dan Novus akan meneroka kaedah baharu untuk menghubungkan ekosistem perjalanan, perkhidmatan kewangan dan digital, sekali gus menyokong hubungan ekonomi dan komersial lebih kukuh antara Malaysia dan Indonesia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

