Malaysia perkukuh kerjasama ASEAN tangani jerebu rentas sempadan

Athur (empat, kanan) bersama delegasi menteri-menteri ASEAN lain yang hadir pada Mesyuarat Ke-27 Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution (MSC).
Athur (empat, kanan) bersama delegasi menteri-menteri ASEAN lain yang hadir pada Mesyuarat Ke-27 Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution (MSC).
A
A
A

BALI – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ke-27 Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution (MSC) yang berlangsung di Bali, Indonesia pada 9 Julai.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Lingkungan Hidup Indonesia selaku negara tuan rumah dan dihadiri menteri alam sekitar serta pegawai kanan dari negara-negara Selatan ASEAN meliputi Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN sebagai urus setia mesyuarat.

Malaysia turut memainkan peranan sebagai Timbalan Pengerusi bagi mesyuarat berkenaan.

Dalam mesyuarat itu, semua negara anggota MSC menzahirkan komitmen untuk memperkukuh pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution - AATHP) secara berkesan.

Malah, mesyuarat turut mengalu-alukan usaha berterusan Indonesia dalam membuat persediaan bagi penubuhan dan pengoperasian ASEAN Coordinating Centre for Transboundary Haze Pollution Control (ACC THPC).

Selain itu, mesyuarat menyambut baik perkembangan ASEAN Investment Framework for Haze-Free Sustainable Land Management (AIF-HFSLM) yang menjadi pelengkap kepada pelaksanaan Second ASEAN Haze-Free Roadmap 2023–2030 serta Second ASEAN Peatland Management Strategy (APMS) 2023–2030.

Arthur mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ke-27 Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution (MSC).
Arthur mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ke-27 Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution (MSC).

Pada masa sama, negara-negara anggota turut menggalakkan kerjasama lebih erat dengan Rakan Dialog ASEAN dalam menyokong pengurusan hutan, tanah gambut dan pertanian lestari bagi merealisasikan sasaran ASEAN Bebas Jerebu menjelang tahun 2030.

Artikel Berkaitan:

Dalam sesi pembentangan, ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) memaklumkan jumlah titik panas (hotspots) di Selatan rantau ASEAN meningkat sebanyak 86 peratus bagi separuh pertama tahun 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut ASMC, peningkatan itu didorong oleh keadaan cuaca yang lebih panas dan kering terutama pada Januari, Mac dan April 2026.

ASMC turut menjangkakan fenomena El Niño akan berterusan sepanjang separuh kedua tahun ini dan dijangka menjadi lebih kuat bermula Ogos hingga September, sekali gus berpotensi menyebabkan cuaca kering berpanjangan.

Keadaan itu dijangka menyebabkan kebanyakan kawasan di Selatan ASEAN menerima taburan hujan di bawah paras normal dalam beberapa bulan akan datang, sekali gus meningkatkan jumlah titik panas dan risiko pencemaran jerebu merentas sempadan.

Mesyuarat Ke-27 MSC turut mengiktiraf usaha berterusan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam memperkukuh keupayaan operasi Southeast Asia Fire Danger Rating System (SEA FDRS).

MET Malaysia memaklumkan tiga Automated Auxiliary Weather Stations (AAWS) telah dipasang di kawasan hutan simpan di Semenanjung Malaysia bagi meningkatkan keupayaan pengesanan awal risiko kebakaran hutan dan tanah gambut.

Malaysia turut memainkan peranan sebagai Timbalan Pengerusi bagi mesyuarat berkenaan.
Malaysia turut memainkan peranan sebagai Timbalan Pengerusi bagi mesyuarat berkenaan.

Selain itu, model kualiti udara Malaysian Community Multiscale Air Quality Model (MyCMAQ) yang dilancarkan pada Mac 2026 kini digunakan bagi meramal kualiti udara termasuk pencemaran jerebu di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Berdasarkan unjuran ASMC dan MET Malaysia mengenai fenomena El Niño serta keadaan cuaca yang lebih panas dan kering, mesyuarat menegaskan semula komitmen semua negara untuk memperkukuh usaha pencegahan, kesiapsiagaan, pemadaman dan tindak balas secara bersepadu bersama semua pihak berkepentingan.

Komitmen itu dilaksanakan selaras dengan Second Haze-Free Roadmap 2023–2030 serta Standard Operating Procedures for Monitoring, Assessment and Joint Emergency Response (SOP MAJER).

Pada mesyuarat sama, Malaysia turut membentangkan cadangan pelaksanaan Diplomasi Sains dan Dana Jerebu Mampan bagi memperkukuh pelaksanaan AATHP.

Cadangan itu dipersetujui untuk diteroka dan dinilai kebolehlaksanaannya sama ada menerusi mekanisme sedia ada atau penubuhan platform baharu yang bersesuaian.

Mesyuarat juga bersetuju meneliti kebolehlaksanaan memperkukuh ASEAN Haze Fund dengan memperluaskan sumber sumbangan dan skop penggunaannya bagi menyokong penyelidikan saintifik serta inisiatif Diplomasi Sains berteraskan tadbir urus yang telus dan berakauntabiliti.

Sementara itu, Mesyuarat Ke-21 Committee dan Conference of Parties to the AATHP dijadualkan berlangsung pada Oktober 2026 di Da Nang, Vietnam.

Malaysia pula akan menjadi Pengerusi dan tuan rumah Mesyuarat Ke-28 MSC yang dijangka diadakan pada Jun 2027 di Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam rangka lawatan kerja itu, Arthur Joseph turut mengadakan perbincangan dua hala bersama Menteri Lingkungan Hidup Indonesia.

Kedua-dua negara mencadangkan beberapa bidang kerjasama baharu yang boleh diteroka dalam sektor alam sekitar dan perubahan iklim.

Malaysia dan Indonesia turut bersetuju untuk terus memperkukuh hubungan kerjasama serta memperhebat usaha pemantauan dan pencegahan pencemaran jerebu merentas sempadan di rantau ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!