Ice-Watch sambut sedekad larian dengan Color The Night Run 2026

SHAH ALAM – Selepas 10 tahun menghimpunkan komuniti menerusi Ice-Watch Night Run, jenama jam tangan Ice-Watch Malaysia meneruskan perjalanan dengan memperkenalkan Color The Night Run 2026 yang bakal berlangsung pada 28 November ini.
Acara yang akan diadakan di IOI City Mall tersebut membawa nafas baharu kepada penganjuran larian malam berkenaan menerusi gabungan aktiviti larian, hiburan dan elemen gaya hidup.
Menurut pengedar jam Ice-Watch Time Zone Sdn Bhd, sepanjang sedekad penganjuran Ice-Watch Night Run menghimpunkan pelari, keluarga, media dan rakan kerjasama dalam acara yang mengetengahkan elemen warna serta semangat kebersamaan.
“Sempena ulang tahun ke-10 itu, Ice-Watch Malaysia memperkenalkan identiti baharu menerusi Color The Night Run 2026 bagi meneruskan legasi acara berkenaan sambil memberi ruang kepada generasi peserta baharu mencipta pengalaman mereka sendiri.
“Acara ini dianjurkan Time Zone Sdn Bhd dengan sokongan HABIB Group dan Two Tropics Coffee, selain menjadi antara inisiatif jenama berkenaan dalam mendekati komuniti menerusi aktiviti gaya hidup,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ice-Watch yang diasaskan di Bastogne, Belgium pada 2007 kini mempunyai kehadiran di lebih 55 negara dengan rangkaian produk merangkumi jam tangan pintar, digital, silikon, keluli tahan karat serta jam tangan buatan Switzerland.
Di Malaysia, Time Zone Sdn Bhd merupakan sebahagian daripada HABIB Group menjadi pengedar eksklusif Ice-Watch dan kini mempunyai 11 cawangan di seluruh negara.
Selain acara larian Time Zone Sdn Bhd memaklumkan, Ice-Watch Malaysia turut memperkenalkan dua koleksi baharu sempena sambutan ulang tahun berkenaan iaitu Ice Forever dan Ice Smart Forever 2.0.
“Ice Forever mengetengahkan reka bentuk kontemporari dengan ciri ikonik Ice-Watch menerusi pilihan warna serta rekaan yang boleh digayakan untuk pelbagai penampilan harian.
“Ice Smart Forever 2.0 pula menggabungkan reka bentuk Ice-Watch dengan teknologi pintar dalam sebuah aksesori yang menawarkan fungsi dan gaya dalam satu produk,” katanya.
Kedua-dua koleksi berkenaan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha Ice-Watch Malaysia untuk mengembangkan penawaran produknya selari dengan keperluan pengguna masa kini.
Kehadiran Ice-Watch di Malaysia sepanjang tempoh berkenaan turut diperkukuh menerusi pelbagai aktiviti gaya hidup, kolaborasi serta program berasaskan komuniti.
Color The Night Run 2026 dijadual berlangsung pada 28 November di IOI City Mall, Putrajaya, sekali gus meneruskan penganjuran acara larian yang menjadi sebahagian daripada perjalanan Ice-Watch Malaysia selama sedekad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
