Baru keluar hospital, warga emas ditemukan maut dalam kereta

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita warga emas yang baharu dibenarkan keluar dari Hospital Melaka selepas menerima rawatan akibat kecederaan retak bahu ditemukan meninggal dunia di dalam kereta di kawasan tempat letak kereta berhampiran rumahnya di Taman Tasik Utama Ayer Keroh di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai seorang wanita tidak sedarkan diri di tempat letak kereta Blok M, Jalan TU 61, Taman Tasik Utama pada jam 4.52 petang.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati mangsa, wanita berusia 69 tahun itu berada di tempat duduk penumpang hadapan sebuah Proton Saga dalam keadaan lengkap berpakaian hospital, manakala tangan kirinya masih beranduh.
"Kedua-dua pintu hadapan kereta terbuka dan kaki kiri mangsa berada di luar kenderaan ketika ditemui.
"Siasatan awal mendapati kira-kira jam 2.50 petang, anak mangsa membawa ibunya pulang selepas dibenarkan keluar dari wad Hospital Melaka. Bagaimanapun, mangsa enggan masuk ke rumah sebelum anaknya masuk terlebih dahulu dan meninggalkannya di dalam kereta," katanya.
Halim berkata, sekitar jam 3.30 petang, seorang jiran melihat pintu kereta mangsa terbuka dengan sebelah kaki berada di luar kenderaan.
"Jiran berkenaan keluar semula 30 minit kemudian dan mendapati keadaan masih sama sebelum menghampiri kereta dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri.
"Tiada kecederaan mencurigakan ditemui pada tubuh mangsa dan setakat siasatan awal, tiada unsur jenayah dikesan," katanya.
Katanya, pihak polis turut mendapatkan pengesahan Hospital Melaka bahawa mangsa baru sahaja dibenarkan keluar dari wad selepas menerima rawatan akibat kecederaan retak bahu susulan terjatuh di rumah.
"Anak mangsa memaklumkan ibunya mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan pernah menerima rawatan di Hospital Melaka.
"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat pada jam 8.30 pagi Isnin bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

