Bekas calon PRU15 ditahan tolak wanita warga emas ke dalam longkang

KUALA LUMPUR - Seorang bekas calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditahan dipercayai menolak seorang warga emas sehingga terjatuh ke dalam longkang di Jalan Hujan Rahmat Dua, OUG, Jalan Klang Lama di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian menimpa mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 79 tahun berhubung kejadian pada jam 12.37 tengah hari hari sama.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang juga bekas pemain hoki Selangor era 60-an datang ke sebuah kedai sebelum dipercayai diekori suspek.
"Pada kira-kira jam 10.30 pagi, ketika mangsa keluar dari kedai berkenaan, suspek yang berada di luar premis secara tiba-tiba dipercayai menolaknya sehingga terjatuh ke dalam longkang.
"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala, tangan kiri dan belakang badan sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Hoo berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh polis turut memaparkan pergerakan suspek berada di luar kedai sebelum dipercayai menolak mangsa.
"Suspek berusia 59 tahun dan merupakan seorang pesara serta pernah bertanding sebagai calon Bebas pada PRU15.
"Suspek ditahan oleh pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di OUG dan polis turut merampas pakaian dipercayai dipakai ketika kejadian," katanya.
Beliau berkata, suspek bagaimanapun tidak mengaku menolak mangsa ketika ditemu bual dan tidak memberikan kerjasama berhubung motif kejadian.
"Rakaman percakapan mangsa pula mendapati dia tidak mengenali suspek dan tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana individu.
"Suspek direman sehari dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengarahkan pihak pembela membawa suspek menjalani rawatan psikiatri," katanya.
Menurutnya, mangsa ditahan di wad kecemasan selama empat hari sebelum dibenarkan pulang pada 21 September lalu.
"Polis masih menunggu laporan lengkap pakar perubatan PPUM termasuk rakaman percakapan doktor sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi mendapatkan arahan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

