Karnival KHUP5 tawar pakej haji, umrah menarik

Mohd Hisham (dua dari kiri) dan Dr Wan Muhamad (dua dari kanan) sempena pelancaran KHUP5 di ibu negara.
Mohd Hisham (dua dari kiri) dan Dr Wan Muhamad (dua dari kanan) sempena pelancaran KHUP5 di ibu negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai berpeluang mendapatkan pelbagai tawaran pakej haji, umrah dan pelancongan menerusi Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan kali kelima (KHUP5) yang menghimpunkan 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen.

Karnival anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama BUMITRA Malaysia itu berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Oktober ini di Movenpick Hotel & Convention Centre (MHCC), KLIA, Sepang.

KHUP5 menyediakan platform sehenti untuk bakal jemaah mendapatkan penerangan secara terus daripada PJH yang dilantik TH bagi Musim Haji 1448H/2027M, sekali gus membolehkan mereka menilai pakej berdasarkan kemampuan, keperluan dan tahap keselesaan masing-masing.

Pengarah Haji TH, Mohd Hisham Harun berkata, penganjuran karnival berkenaan bukan hanya memberi tumpuan kepada tawaran pakej haji, malah menyediakan ruang perkongsian ilmu, pengalaman dan maklumat berkaitan pengurusan ibadah haji.

“Pada masa sama, TH sentiasa mengingatkan masyarakat supaya memastikan segala urusan haji dibuat melalui saluran yang sah serta mematuhi ketetapan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, antara perkara penting yang diberi penekanan pada KHUP5 ialah mesej ‘Tiada Visa, Tiada Haji’, selaras ketetapan Kerajaan Arab Saudi yang mewajibkan jemaah memiliki visa haji yang sah.

Beliau berkata, hanya jemaah yang memiliki visa haji sah dibenarkan memasuki kawasan Masyair termasuk Arafah, Mudzalifah dan Mina, manakala pelanggaran ketetapan berkenaan boleh membawa tindakan undang-undang.

“Antara tindakan yang boleh dikenakan termasuk denda, penjara dan disenarai hitam daripada memasuki kawasan Tanah Suci untuk satu tempoh tertentu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tetamu kenamaan dan wakil-wakil PJH yang menghadiri pelancaran KHUP5 di ibu negara.
Tetamu kenamaan dan wakil-wakil PJH yang menghadiri pelancaran KHUP5 di ibu negara.

Hisham berkata, KHUP5 turut menjadi medium untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menggunakan visa yang sah, selain mengingatkan bakal jemaah supaya meneliti setiap tawaran pakej bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan.

Sementara itu, Presiden BUMITRA Malaysia, Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin berkata, pengunjung boleh mendapatkan penjelasan secara terus daripada PJH mengenai perkhidmatan dan pakej yang ditawarkan sepanjang karnival itu.

Katanya, pilihan yang disediakan merangkumi pakej ekonomi, selain pelbagai pakej umrah dan pelancongan patuh syariah.

“KHUP5 memberi peluang kepada bakal jemaah mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai perkhidmatan, kemudahan dan nilai tambah yang ditawarkan oleh PJH sebelum membuat pilihan,” katanya.

Selain mendapatkan maklumat pakej, pengunjung turut boleh menyertai pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga termasuk Bual Bicara dan Podcast TH berkaitan penipuan haji, Simulasi Haji Cilik, pertandingan mewarna, kuiz interaktif serta cabutan bertuah.

Karnival itu turut dimeriahkan kemunculan khas BoBoiBoy, persembahan kumpulan nasyid The Rayhan dan Rabbani serta penyanyi Ezad Lazim, selain Bazar Karnival yang menawarkan makanan, minuman dan barangan berkaitan haji serta umrah.

Dalam pada itu, TH memperkenalkan Anugerah Pengelola Jemaah Haji (Anugerah PJH) tahun ini sebagai pengiktirafan terhadap komitmen, sumbangan dan kecemerlangan PJH dalam menyediakan perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai KHUP5 dan e-Brosur Pakej Haji 1448H/2027M boleh diperoleh menerusi laman rasmi khupmalaysia.com.

Orang ramai juga digalakkan membuat prapendaftaran secara dalam talian bagi mendapatkan kemudahan laluan pantas (fast lane) ketika karnival berlangsung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!