Andalusia perkukuh jenama, sasar pasaran serantau

Andalusia memastikan setiap jemaah merasai momen kepuasan dan mencipta kegembiraan sepanjang melakukan perjalanan dengan agensinya. - FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Andalusia memastikan setiap jemaah merasai momen kepuasan dan mencipta kegembiraan sepanjang melakukan perjalanan dengan agensinya. - FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

MELAKAR rekod prestasi cemerlang sepanjang lebih dua dekad dalam menguruskan jemaah umrah dan haji dari Malaysia, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) terus memperkukuh komitmen untuk menawarkan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada pelanggannya.

Bukan sekadar mahu mengekalkan kedudukan dalam pasaran tempatan, penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026 itu kini bersedia meneroka pasaran serantau.

Berkongsi perkembangan terbaharu dalam temu bual khas bersama Sinar Bisnes baru-baru ini, Andalusia bakal menembusi pasaran Singapura dan Indonesia dalam masa terdekat, selain merancang untuk melebarkan sayap ke beberapa pasaran lain.

Menurut Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris, strategi mengembangkan operasi syarikat ke dua negara jiran berkenaan adalah tepat pada masanya, terutama apabila Andalusia sendiri sudah mempunyai pelanggan dari negara berkenaan.

“Langkah ini juga bukan sesuatu yang baharu, sebelum ini pun ramai pelanggan dari Singapura misalnya yang telah memilih pakej perjalanan umrah dari Andalusia.

“Kehadiran Andalusia di kedua-dua negara itu lebih kepada memudahkan urusan warganya dengan pihak Andalusia,” katanya.

Ujarnya, Andalusia mahu membawa jenama syarikat yang dikenali dan dipercayai ke luar negara, sekali gus melebarkan sayap ke lebih banyak pasaran luar negara termasuk Thailand dan Brunei.

Ida Riswana Idris - FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ida Riswana Idris - FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Artikel Berkaitan:

Perkembangan itu hadir ketika landskap industri umrah, haji dan pelancongan Islam sendiri semakin berubah, khususnya apabila pilihan dan cara orang ramai merancang perjalanan turut mengalami perubahan.

Antara trend yang semakin mendapat perhatian ialah konsep Do It Yourself (DIY) termasuk dalam kalangan individu yang mahu melaksanakan umrah mengikut perancangan dan kesesuaian sendiri.

Mengulas perkara itu, Ida Riswana mengakui terdapat peningkatan trend DIY dalam kalangan orang ramai yang mahu melaksanakan umrah.

Katanya, tidak salah untuk melakukan umrah DIY jika dibuat mengikut cara yang betul, malah ramai memilih opsyen tersebut kerana tidak mahu terlalu terikat dengan jadual itinerari, sebaliknya mahukan perjalanan yang lebih mengikut kesesuaian dan keperluan masing-masing.

Namun, katanya, kebimbangan utama apabila melakukan perjalanan secara DIY adalah daripada segi keselamatan perjalanan dan siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Andalusia pun sudah lama ada segmen DIY, ia lebih dikenali sebagai Free Independent Traveller (FIT) di mana pergerakan jemaah adalah mengikut kesesuaian sendiri tetapi masih di bawah pemantauan dan jagaan kami.

“Oleh itu, DIY bersama Andalusia adalah lebih selamat dan biasanya juga lebih murah berbanding DIY yang lain kerana kita berurusan terus dengan agen dalam urusan tempahan bilik dan sebagainya,” katanya.

Ida Riswana berkata Andalusia bakal menembusi pasaran Singapura dan Indonesia dalam masa terdekat - FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ida Riswana berkata Andalusia bakal menembusi pasaran Singapura dan Indonesia dalam masa terdekat - FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Seiring perubahan tersebut, Andalusia turut bersedia memperluaskan pilihan kepada pelanggan menerusi platform digital baharu.

Menariknya, Ida Riswana memaklumkan Andalusia bakal melancarkan platform DIY baharu pada awal September dikenali sebagai TripAnda.com bagi mereka yang ingin melakukan perjalanan secara persendirian.

“Pelancaran platform TripAnda ini juga selari dengan usaha digitalisasi syarikat, khususnya dalam memudahkan urusan jemaah termasuk proses dokumentasi dan pengurusan perjalanan,” katanya.

Dalam pada itu, perubahan turut dapat dilihat dalam kalangan jemaah haji, khususnya dari segi usia.

Bercakap tentang musim haji, beliau mengakui melihat golongan muda berusia 35 tahun hingga 40 tahun ke atas sudah ramai yang menunaikan haji berbanding dahulu apabila kebanyakan yang menunaikan haji berusia 70 tahun.

Perubahan demografi jemaah itu dilihat sebagai satu lagi ruang yang perlu diberi perhatian oleh syarikat dan agensi pelancongan Islam, termasuk Andalusia sendiri.

Di sinilah syarikat atau agensi termasuk Andalusia sendiri perlu memanfaatkan sepenuhnya proses digitalisasi bagi menarik lebih ramai golongan muda melakukan perjalanan ibadah mahupun pelancongan Islam.

“Generasi muda kini lebih mengutamakan urusan yang mudah, pantas dan kurang birokrasi, dengan sebahagian besar proses boleh dilakukan secara dalam talian selaras dengan perkembangan digitalisasi.

“Seiring perubahan citarasa generasi ini, kami turut menambah baik barangan keluaran syarikat dengan mengetengahkan imej yang lebih segar dan bersesuaian dengan cita rasa semasa,” katanya.

Ida Riswana menyambut kepulangan jemaah haji KT014B - FOTO: Andalusia
Ida Riswana menyambut kepulangan jemaah haji KT014B - FOTO: Andalusia

Bagaimanapun, Andalusia tidak hanya bergantung kepada segmen umrah dan haji. Syarikat itu turut mempunyai pengalaman dalam segmen pelancongan Islam dengan rekod setiap tahun hampir 10,000 pelancong, melibatkan perjalanan inbound dan outbound.

“Ramai memilih untuk melakukan perjalanan dengan Andalusia kerana pemandu pelancong kami terdiri daripada mutawif yang mahir selok-belok destinasi pelancongan luar negara.

“Antara destinasi popular ketika ini antaranya Uzbekistan dan China,” katanya.

Bagi Ida Riswana, kekuatan Andalusia bukan semata-mata terletak pada pakej atau destinasi yang ditawarkan, sebaliknya turut bersandar kepada pengalaman yang dirasai pelanggan sepanjang perjalanan.

Menurutnya, falsafah utama Andalusia adalah memastikan setiap jemaah merasai momen kepuasan dan mencipta kegembiraan sepanjang melakukan perjalanan dengan agensinya.

“Di Andalusia, kami menganggap diri kami sebagai pelayan tetamu Allah. Tugas kami adalah memastikan keselesaan jemaah dan mereka hanya perlu fokus menjalani ibadah.

“Kami juga akan menangani segala masalah dan kesulitan yang dihadapi jemaah,” katanya.

Tambahnya, dalam industri perkhidmatan, apa yang paling penting adalah menyantuni jemaah dengan sehabis baik, sekali gus memberikan sentuhan manusiawi yang akan menjadi kenangan peribadi mereka.

Andalusia menambah baik barangan keluaran syarikat dengan mengetengahkan imej lebih segar dan bersesuaian dengan cita rasa semasa - FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Andalusia menambah baik barangan keluaran syarikat dengan mengetengahkan imej lebih segar dan bersesuaian dengan cita rasa semasa - FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Dalam usaha bergerak seiring perubahan zaman, Andalusia pada masa sama tidak meminggirkan kepentingan digitalisasi dan teknologi bagi meningkatkan kecekapan operasi syarikat.

“Saya ada merancang Visi 2027/28 apabila Andalusia akan melaksanakan automasi penuh, di mana pelanggan tidak perlu hadir ke cawangan untuk berurusan sebaliknya segala proses berkaitan boleh dilakukan menerusi satu sistem sahaja.

“Kami mahu kecerdasan buatan (AI) yang melakukan kerja-kerja seperti perkeranian dan dokumentasi, biarlah tugas kami hanya untuk menyantuni jemaah,” katanya.

Selain digitalisasi, beliau turut membayangkan sekiranya suatu hari nanti satu mekanisme pembayaran ansuran dapat direka bagi membolehkan semua orang menikmati peluang melakukan umrah dan haji dengan lebih mudah dan fleksibel.

Namun di sebalik perancangan untuk berkembang dan meneroka peluang baharu, membangunkan sesebuah syarikat bukanlah tanpa cabaran.

Bagi Andalusia, cabaran dalaman perlu diberi perhatian sama serius dengan perkembangan pasaran luaran.

Keupayaan memperkemas operasi, meningkatkan kecekapan pasukan, menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta memastikan kualiti perkhidmatan kekal konsisten menjadi antara perkara penting yang perlu ditangani agar syarikat terus mampu berkembang.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!