Aksi terakhir Messi bersama Argentina

SELEPAS lebih dua dekad mengabdikan diri buat Argentina, Lionel Messi bakal menutup tirai karier antarabangsa dalam aksi persahabatan menentang Benin di Stadium Monumental pada Rabu.
Perlawanan itu menjadi penampilan terakhir pemain berusia 39 tahun berkenaan bersama skuad Albiceleste selepas melalui perjalanan panjang yang menyaksikan beliau menjulang Piala Dunia 2022 dan dua trofi Copa America.
Lebih istimewa, kira-kira 85,000 penyokong dijangka memenuhi stadium bagi menyaksikan detik perpisahan legenda itu, selain beberapa rakan sepasukan yang membantunya mencapai kemuncak kejayaan di Qatar empat tahun lalu.
Messi meninggalkan legasi luar biasa apabila menjadi pemegang rekod penampilan terbanyak Argentina selain penjaring terbanyak negara dengan 125 gol daripada 207 perlawanan, di samping mencatat 68 bantuan jaringan.
Kapten Argentina itu turut akan menyerahkan lilitan kapten yang dipakainya sejak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan kepada generasi seterusnya.
“Saya sudah memberikan segala-galanya dan tiada lagi yang mampu saya berikan. Selain itu, terdapat pemain muda hebat yang sedang muncul dan mereka berhak mendapat peluang,” kata Messi ketika mengumumkan persaraan antarabangsa pada Ogos lalu.
Aksi menentang Benin turut menjadi simbolik peralihan kuasa dalam skuad Argentina yang kini mula membuka ruang kepada barisan muda untuk meneruskan legasi pasukan juara dunia itu.
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, mengakui perpisahan Messi bakal menjadi detik penuh emosi buat seluruh pasukan.
“Ini akan menjadi hari yang tidak dapat dilupakan untuk semua orang. Semua mahu berada dalam perlawanan ini dan kini apa yang penting ialah menikmatinya,” katanya.
Argentina juga sudah membuktikan mereka mampu bergerak tanpa terlalu bergantung kepada Messi apabila membelasah Bolivia 4-0 sebelum membenam Burkina Faso 7-0 dalam dua aksi terbaharu.
Mastantuono dan Gianluca Prestianni turut mencetak gol antarabangsa pertama ketika kemenangan besar ke atas Burkina Faso di Monumental, sekali gus memberi gambaran bahawa generasi baharu Argentina bersedia mengambil alih tanggungjawab.
Cristian Romero dijangka menjadi kapten manakala Emiliano Martinez dan Lautaro Martinez berada dalam senarai seterusnya.
Selain Messi, Nicolas Otamendi yang kini berusia 38 tahun turut dijangka mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kebangsaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
