Tamat badi kekalahan kepada Vietnam

Cheng Hoe
Cheng Hoe
A
A
A

HARIMAU Malaya mahu menjadikan aksi penentuan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 menentang Vietnam di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Isnin sebagai medan untuk menamatkan badi kekalahan terhadap pasukan berkenaan.

Pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, anak buahnya perlu mengekalkan momentum serta semangat berpasukan bagi menghadapi Vietnam yang dianggap antara pasukan terkuat dari segi organisasi permainan, serangan dan pertahanan.

“Sebagai jurulatih, saya amat bangga dengan corak permainan kita dan keputusan yang begitu baik. Sudah tentu kita perlu meningkatkan prestasi dan lebih konsisten kerana lawan nanti, Vietnam merupakan satu lagi pasukan yang begitu kuat dari segi organisasi, serangan dan pertahanan.

“Kita banyak kali kalah dengan Vietnam dan kali ini kita ambil sebagai satu keyakinan serta peluang untuk mendapatkan keputusan yang baik,” katanya.

Rekod pertemuan menyaksikan Malaysia belum merekodkan kemenangan ke atas Vietnam sejak 2016, sekali gus menjadikan aksi penentuan tempat ketiga itu peluang untuk Harimau Malaya menamatkan penantian berkenaan.

Menurut Cheng Hoe, Harimau Malaya perlu tampil sebagai satu unit selain mengekalkan semangat juang sekiranya mahu menundukkan Vietnam.

“Kita kena kekalkan persembahan dan konsistensi kerana kita perlu bermain sebagai satu pasukan. Kita tidak boleh lupa bahawa kemenangan pasukan datang daripada semangat berpasukan yang begitu baik.

“Kita mahu Harimau Malaya bangkit semula daripada apa yang berlaku sebelum ini.

“Perlawanan menentang Vietnam adalah perlawanan yang kita nantikan. Kita banyak kali terkandas menentang mereka dan kita mengharapkan kali ini dengan pasukan terbaik serta momentum terbaik, kita mampu mendapatkan keputusan positif,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!