Peniaga beri rasuah ingkar PKP diberkas

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia - Foto Sumber Internet
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia - Foto Sumber Internet
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan seorang peniaga kedai peralatan komunikasi memberi rasuah RM500 kepada Pembantu Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) mengundang padah apabila dia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Lelaki berusia 36 tahun itu tersebut ditahan kira-kira jam 2 petang selepas tampil memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Kluang bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, peniaga terbabit memberi rasuah kepada pembantu penguatkuasa sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadapnya yang ingkar arahan notis menjalankan perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

"Sebelum itu, suspek dikatakan telah dikenakan kompaun oleh pihak MPK atas kesalahan ingkar arahan notis kali kedua mengikut Seksyen 109 Akta 171 yang mana jumlah kadar kompaun bagi kesalahan tersebut berjumlah RM1,000.

"Suspek kemudian dilepaskan dengan jaminan setelah pihak SPRM mengambil keterangannya dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan tersebut.

Katanya, SPRM menasihati semua pihak agar tidak melakukan sebarang aktiviti rasuah kerana suruhanjaya ini tetap akan mengambil tindakan terhadap setiap aduan kesalahan rasuah yang diterima walaupun dalam tempoh PKP sedang berkuatkuasa.

Daerah Kluang merupakan antara lima daerah di negeri ini diisytiharkan sebagai zon merah Covid-19 dengan mencatatkan 222 kes positif dan membabitkan empat kematian.

Artikel Berkaitan: