Fernandes dedah perbualan telefon dengan Ronaldo

KRISIS Cristiano Ronaldo bersama Portugal semakin hangat apabila Bruno Fernandes tampil mendedahkan perbualan telefon bersama bintang veteran itu selepas penyerang berusia 41 tahun berkenaan meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan.
Fernandes yang masih berhubung secara langsung dengan Ronaldo mengakui sudah bercakap dengan bekas rakan sepasukannya itu susulan kemelut yang tercetus selepas penyerang berkenaan tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama Portugal ketika menentang Norway minggu lalu.
Namun, di sebalik kontroversi itu, Fernandes menegaskan Ronaldo kekal sebagai ikon terbesar negara itu dan jasanya tidak boleh dipadamkan daripada sejarah bola sepak Portugal.
“Berkaitan Cristiano, saya ada bercakap dengannya. Apa yang saya katakan kepadanya dan saya ulang di sini, walau apa pun yang berlaku, Cristiano Ronaldo tidak akan pernah berhenti menjadi simbol terbesar pasukan kebangsaan, bola sepak dan negara kita.
“Dia mempunyai tempat yang istimewa bukan sahaja dalam kalangan pemain terbaik sepanjang zaman, tetapi juga dalam hati semua rakyat Portugal,” katanya.
Ronaldo mencetuskan kejutan apabila meninggalkan kem latihan Portugal selepas tidak diturunkan dalam aksi menentang Norway yang menyaksikan pasukannya mencatat kemenangan 2-1.
Keputusan itu cukup luar biasa kerana ia merupakan kali pertama dalam tempoh 18 tahun pemain berkenaan berada di bangku simpanan Portugal selepas cergas untuk beraksi.
Tidak lama kemudian, Ronaldo mengeluarkan kenyataan menerusi media sosial bagi mengumumkan keputusannya meninggalkan kem selain memberi bayangan bahawa dia akan mendedahkan perkara sebenar di sebalik keputusan berkenaan.
Situasi itu mengundang pelbagai reaksi termasuk dakwaan bahawa Ronaldo tidak berpuas hati dengan pengurusan minit permainannya oleh ketua jurulatih, Jorge Jesus.
Bagaimanapun, Fernandes enggan melihat kemelut tersebut memecah-belahkan pasukan dan rakyat Portugal.
“Perkara paling penting adalah kita berhenti memecah-belahkan keadaan. Tiada perpecahan dalam pasukan kebangsaan. Kami bersatu dan akan kekal begitu walaupun ada bunyi bising dari luar.
“Kami tidak terbabit dalam kontroversi ini, tetapi saya meminta negara supaya tidak berpecah, tidak membuat pilihan dan menghormati semua pihak.
“Cris adalah dan akan kekal sebagai ikon terbesar pasukan kebangsaan. Dia layak menerima penghormatan daripada semua orang, tidak kira siapa yang lebih atau kurang menyukainya,” katanya.
Ronaldo memegang rekod sebagai pemain paling banyak melakukan penampilan antarabangsa dengan 234 kaps selain penjaring terbanyak dunia di pentas antarabangsa dengan 146 gol.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
