Bintang mukbang meninggal dunia pada usia 24 tahun

BEIJING - Pempengaruh mukbang terkenal China, Ganfan Yingying yang mempunyai kira-kira 1.2 juta pengikut meninggal dunia pada usia 24 tahun selepas bertahun-tahun menghasilkan kandungan makan dalam kuantiti melampau.
Yingying atau nama sebenarnya Chen Ziyi dilaporkan meninggal dunia pada 17 Ogos, namun keluarganya tidak mendedahkan punca sebenar kematian.
Keluarganya mengesahkan kematian itu menerusi satu obituari, manakala akaun media sosial Yingying dilaporkan dipadamkan oleh platform video pendek pada 7 September.
Tiga hari sebelum kematiannya, Yingying memuat naik perkembangan mengenai keadaan kesihatannya dengan menunjukkan kesan tusukan jarum pada belakang tangan serta keputusan ujian darah.
Keputusan tersebut menunjukkan paras kalium dalam darahnya berada antara 2.3 hingga 2.5 milimol seliter, jauh di bawah paras minimum normal 3.5 milimol seliter.
Menurut Yingying, rutin berjaga malam untuk menjalani penggambaran selain kerap memuntahkan makanan secara sengaja selepas makan dalam kuantiti banyak menyebabkan tubuhnya semakin keletihan.
Beliau mendakwa tuntutan kerjanya kadangkala memerlukan pengambilan makanan dalam jumlah luar biasa ketika melakukan jualan secara siaran langsung.
Ketika mempromosikan telur abad misalnya, Yingying berkata, beliau pernah memakan antara 60 hingga 70 biji dalam satu sesi.
Risiko kalium terlalu rendah
Yingying sebelum ini turut mendedahkan kehidupan sebagai pencipta kandungan makanan tidak semudah yang dilihat penonton kerana perlu berdepan jadual tanpa tidur mencukupi, makan secara berterusan dan masalah kesihatan.
“Mencari wang itu penting, tetapi kesihatan mesti sentiasa diutamakan,” katanya dalam antara perkongsian terakhir sebelum meninggal dunia tiga hari kemudian.
Pakar perubatan menjelaskan perbuatan memuntahkan makanan secara berulang boleh menyebabkan tubuh kehilangan kalium, mineral penting yang membantu mengawal fungsi jantung dan otot.
Doktor dari Hospital Chengdu Fifth People's, Liu Hongdie berkata, muntah menyebabkan makanan dan cecair pencernaan dikeluarkan sebelum nutrien serta elektrolit dapat diserap dengan sempurna.
Kehilangan kalium yang teruk atau hipokalemia boleh mengganggu aktiviti jantung dan dalam keadaan ekstrem berpotensi menyebabkan gangguan rentak jantung yang mengancam nyawa atau jantung terhenti.
Bagaimanapun, laporan berkenaan tidak menyatakan bahawa keadaan tersebut telah disahkan sebagai punca kematian Yingying.
Kematiannya kembali mencetuskan kebimbangan terhadap trend kandungan makan ekstrem di media sosial China yang menyaksikan pencipta kandungan berdepan tekanan untuk mengambil makanan dalam kuantiti luar biasa bagi menarik penonton atau mempromosikan produk. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

