Doktor swasta rugi RM300,000 terperdaya pelaburan Kad Prihatin Siswa palsu

Seorang doktor swasta kerugian RM300,000 selepas terperdaya dengan penipuan pelaburan projek Kad Prihatin Siswa yang tidak wujud sejak 2023. Foto hiasan
Seorang doktor swasta kerugian RM300,000 selepas terperdaya dengan penipuan pelaburan projek Kad Prihatin Siswa yang tidak wujud sejak 2023. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang doktor swasta kerugian RM300,000 selepas terperdaya dengan penipuan pelaburan projek Kad Prihatin Siswa yang tidak wujud sejak 2023.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, wanita berusia 38 tahun itu dan suaminya berurusan dengan seorang lelaki tempatan berhubung projek berkenaan secara bersemuka, serta melalui aplikasi WhatsApp pada awal 2023.

Beliau berkata, suspek memperkenalkan projek berkenaan sebagai satu pelaburan yang kononnya melibatkan 20 universiti dan kira-kira 620,000 pelajar, selain menjanjikan pulangan keuntungan lumayan kepada mangsa.

"Pengadu yang terperdaya telah membuat lima transaksi pembayaran berjumlah RM300,000 ke akaun bank milik suspek sepanjang 2023.

"Selepas bayaran dibuat, satu perjanjian pelaburan telah ditandatangani yang menyatakan pelaburan itu menjanjikan keuntungan 10 peratus sebulan selama 12 bulan dan modal akan dipulangkan pada tamat tempoh perjanjian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Anuar berkata, mangsa juga didaftarkan sebagai pemegang 10 peratus saham dalam syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa tidak pernah menerima sebarang keuntungan atau dividen seperti dijanjikan.

"Mangsa dan suami beberapa kali meminta penjelasan, pembayaran dividen serta salinan perjanjian yang dimatikan setem, namun suspek memberikan pelbagai alasan dan gagal menyelesaikan perkara berkenaan,” katanya.

Susulan itu, mangsa yang menyedari dirinya ditipu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!